• 17 Sept 2024 | 13 Rabiul Awal 1446

Insentif Penerjun Kontroversi SUKMA Belum Diputuskan

KUALA TERENGGANU, 27 Ogos - Ada atau tidak insentif untuk atlet terjun yang mendapat pingat atas 'nama Terengganu' di Sukan Malaysia (SUKMA) akan diputuskan selepas mendapat laporan penuh daripada pihak bertanggungjawab.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ir. Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan, beliau akan memutuskan semua itu setelah menerima laporan penuh Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dalam masa terdekat.

"Saya akan tunggu laporan penuh sebelum buat keputusan (pemberian insentif), termasuklah pihak yang dihantar tanpa melalui kerajaan negeri, itu kita akan buat keputusan kemudian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program Pembersihan Pantai Batu Buruk yang dirasmikan Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin di pantai itu, hari ini.

Beliau menegaskan, secara umumnya keputusan untuk insentif belum dimuktamadkan.

"Saya belum buat keputusan lagi sebab saya masih menunggu laporan penuh dari segi pencapaian kita dan apa yang perlu kita buat.

"Sebab yang paling penting, saya rasa ialah bagaimana kita ingin melaksanakan pelan strategi yang lebih kemas supaya dua tahun lagi, kita akan tambah baik keadaan kita.

"Sudah tentulah sasaran kita ke depan ini adalah untuk menjadi juara," katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan, Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan, Hishamuddin Abdul Karim mengeluarkan kenyataan memaklumkan bahawa penglibatan atlet terjun wanita Muslim negeri itu ke SUKMA Sarawak dibuat tanpa pengetahuan kerajaan negeri.

Ini berikutan pendirian kerajaan negeri Terengganu tentang kod etika berpakaian atlet muslim ketika bersukan yang telah dikeluarkan sebelum ini.


Tag: