Isu Kepentingan Rakyat Diambil Tindakan Segera
KUALA TERENGGANU, 20 November - Pelbagai isu melibatkan kepentingan rakyat di Telemong perlu diambil tindakan segera oleh pihak berwajib.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Zawawi Ismail berkata, antara yang menjadi rungutan penduduk ialah gangguan hidupan liar, masalah banjir, dan pembangunan pelancongan.
"Masalah gajah dan hidupan liar kerap kali sebut dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), mesyuarat Tindakan Daerah pada setiap bulan dan juga dalam media sosial.
"Banyak harta benda rosak, tolonglah ambil tindakan tuntas," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika dalam perbahasan bajet 2025 pada Mesyuarat ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Iman, semalam.
Zawawi turut menyuarakan kebimbangan terhadap kehadiran gajah dan hidupan liar yang semakin kerap mengganggu penduduk.
Tambah beliau, punca utama dikenal pasti adalah penerokaan hutan akibat pembinaan empangan, aktiviti pembalakan, dan pembukaan tanah secara tidak terkawal.
“Pihak bertanggungjawab jangan hanya fikir keuntungan,” tegasnya.
Masalah banjir turut menjadi perhatian, khususnya di kawasan rendah seperti Telemong yang terkesan setiap tahun.
Beliau mencadangkan beberapa langkah mitigasi seperti pembinaan tebatan banjir, pendalaman sungai, dan pembinaan "monsoon drain".
"Biarpun memerlukan kos besar, langkah ini mampu mengurangkan kerugian besar yang ditanggung kerajaan dan rakyat setiap kali banjir melanda," katanya.
Selain itu, beliau menekankan pentingnya memajukan kawasan pelancongan seperti Tasik Kenyir dan Hutan Lipur dan Taman Pertanian Sekayu.
"Kawasan nampak layu dan tidak serancak dulu sejak akhir-akhir ini.
"Punca utama ialah kurang diberi perhatian, terbiar - mari kenyir main air suasana sunyi dan kekurangan perhatian," ujarnya.
Zawawi turut mengingatkan kerajaan tentang janji-janji berkaitan pembangunan perumahan di Bukit Tadok dan pembinaan Masjid Kampung Palas.
Justeru itu, beliau berharap
isu-isu ini diberi perhatian serius dan projek ini dapat dilaksanakan segera bagi memenuhi keperluan rakyat.