Isu Perumahan Rakyat Diberi Perhatian Serius

KUALA TERENGGANU, 19 November - Kerajaan negeri perlu mengambil serius isu perumahan rakyat  ataupun dipanggil Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dalam  membantu rakyat termiskin memiliki tempat tinggal yang selesa dan selamat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, sebanyak 83 permohonan baik pulih dan 39 permohonan bina baharu telah diterima daripada penduduk.

“Progam Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) adalah manifestasi komitmen kerajaan untuk memastikan setiap rakyat termiskin, dapat menikmati kehidupan lebih baik dengan akses kepada tempat tinggal yang sesuai

“Namun suara rakyat tetap perlu kita bawa ke dewan ini agar mendapat perhatian yang wajar dari kerajaan negeri agar kes-kes kritikal dapat diselesaikan dengan kadar segera. 

“Rumah-rumah daif yang mengalami kerosakan oleh faktor usia dan merbahaya kepada penghuni perlu diberi keutamaan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam pembahasan bajet pada Mesyuarat ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri  Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Iman, hari ini.

Menurutnya, PPRTmenjadi harapan utama bagi golongan ini namun, terdapat beberapa cabaran dalam pelaksanaan permohonan baik pulih dan pembinaan rumah baharu di bawah program ini yang memerlukan perhatian kerajaan negeri.

“Kita semua sedia maklum mengenai kekangan kewangan yang dihadapi oleh kerajaan negeri pada masa kini berbeza dengan lima tahun yang lalu. 

“Hasil dan pendapatan kerajaan pada ketika itu melimpah ruah dan kerajaan negeri juga telah menunjukkan kesungguhan yang luar biasa dalam menangani isu ini,” tambah beliau.

Justeru itu, beliau menyeru kepada kerajaan Persekutuan yang dipimpin oleh Kerajaan Madani agar politik sempit dielakkan dalam pentadbiran dan mengembalikan semula hak rakyat Terengganu.

“Program ini dapat memperbaiki kualiti hidup golongan ini dengan memberi peluang kepada keluarga berpendapatan rendah untuk tinggal di rumah yang lebih selesa dan selamat. 

“Rumah yang baik bukan sahaja memberikan perlindungan daripada cuaca dan bencana, tetapi juga meningkatkan kualiti hidup mereka,” katanya.


Tag: