• 18 Okt 2024 | 15 Rabiul Akhir 1446

Isytihar Harta : Terengganu Terbuka Saranan SPRM

Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
KUALA TERENGGANU, 21 April - Kerajaan negeri sangat terbuka dengan cadangan dan saranan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mewajibkan ahli politik serta pegawai kanan kerajaan gred Jusa C ke atas mengisytiharkan harta.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri sememangnya komited dalam menangani isu integriti termasuk melibatkan pentadbiran negeri.

Jelasnya, pihaknya akan menunggu maklum balas dan arahan seterusnya daripada pihak SPRM sebelum membuat apa-apa tindakan.

“Pada bulan Februari yang lepas, kita telah membuat Ikrar Bebas Rasuah (IBR), jadi itu satu komitmen kita untuk mencegah amalan rasuah.

“Kita menerima dan sangat terbuka dengan apa-apa cadangan dan saranan daripada pihak SPRM.

"Bagaimanapun, kita akan ambil langkah yang sesuai dan bertepatan bagi menyokong pelaksanaan peruntukan khusus dalam Akta SPRM 2019 yang dijangka direalisasikan hujung tahun ini," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir dalam Majlis Corporate Talk Terengganu Inc bersempena Corporate Directors' Programme (CDP) 2019 di Duyung Marina & Resort, di sini hari ini.



Menyampaikan cendaramata penghargaan kepada Tan Sri Abdul Wahid. 
Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Tan Sri Abdul Wahid Omar, Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato' A. Rahman Yahya, Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan Terengganu, Ahli-Ahli Parlimen Terengganu, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Pengerusi serta Ahli Lembaga Pengarah Anak Syarikat Terengganu Inc.

Semalam, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil berkata, pihaknya akan memperkenalkan akta baharu di bawah SPRM berkaitan pengisytiharkan harta yang bakal dilaksanakan sebelum akhir tahun ini.

Berdasarkan undang-undang baharu itu nanti, mereka yang ingkar boleh dikenakan tindakan sama ada penjara atau denda.

Mengikut akta baharu itu nanti, kalau mereka tak isytihar, ia adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan undang-undang sama ada penjara atau denda. Namun kita perlu tunggu apa yang bakal diluluskan pada peringkat Parlimen nanti.

Ketika ini, kita sedang dalam proses penyediaan (perkara berkaitan akta baharu) yang mana akhirnya kita bawa ke bahagian penggubalan dan seterusnya bawa ke Kabinet dan kita harap sebelum akhir tahun ini perkara ini dapat direalisasikan, katanya.
Bergambar kenangan bersama semua pengarah dan ahli lembaga pengarah anak syarikat TI.


Tag: