KUALA TERENGGANU, 28 November - Itqanul Al-Muluk Bita'dil As-Suluk yang menjadi undang-undang tubuh kerajaan negeri mencerminkan ketinggian pemerintahan Terengganu dalam menjadikan syariat Islam sebagai tunjang utama dalam pentadbiran negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ia turut memberi peringatan kepada seluruh lapisan masyarakat di negeri ini bahawa kemuliaan sesebuah pemerintahan dan keindahan sesebuah masyarakat bermula daripada kesungguhan membaiki diri, memperelokkan amalan serta menegakkan adab dalam setiap urusan.
"Alhamdulillah, program yang diadakan pada hari ini memberi makna yang sangat penting kepada sejarah Negeri Terengganu Darul Iman yang bermula dengan (penemuan) Batu Bersurat kemudian disusuli dengan undang-undang tubuh kerajaan Negeri Terengganu ini.
"Sehinggalah (ia membentuk) agenda-agenda dan polisi-polisi Islam yang dibawa oleh kerajaan negeri pada hari ini dibawah kepimpinan Yang Amat Berhormat (YAB) Menteri Besar, Dato' Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penghayatan Itqanul Al-Muluk Bita'dil As-Suluk Peringkat negeri yang disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam Pulau Wan Man, di sini, semalam.
"Bagi memastikan kita akan terus mencintai negara dan negeri Terengganu Darul Iman yang mempunyai sejarah Islam yang begitu hebat bukan sahaja bagi tanahair bahkan meliputi keseluruhan Alam Melayu,"jelas beliau.
