J3K Jangan Jadikan Laman Sosial Tempat Luah Ketidakpuasan Hati - Azmi



Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K) dan barisan jawatankuasanya diminta tidak menjadikan laman sosial sebagai tempat untuk meluahkan ketidakpuasan hati mengenai pemimpin mahupun isu-isu berkaitan kepimpinan setempat atau negeri.

Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Azmi Razik berkata,sebagai J3K yang merupakan mata dan telinga kerajaan, sepatutnya mereka mempertahankan, menyokong hasrat serta aspirasi kerajaan.

Jelasnya lagi, mereka seharusnya menggunakan saluran yang betul untuk bersuara dan bukannya menggunakan laman sosial seperti Facebook bagi meluahkan ketidakpuasan hati.

"Saya lihat ada sesetengah kepimpinan J3K ada yang bertindak demikian dan ini jelas menunjukkan sikap tidak matang mereka termasuk menghentam kepimpinan yang ada.

"Setiap kali perjumpaan dengan barisan kepimpinan J3K daerah, saya selalu ingatkan tentang tanggungjawab mereka sebagai penggerak dasar kerajaan dan tegaskan bahawa ianya tidak diulangi lagi atau tindakan akan diambil,"kata Azmi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Program Jaringan Komuniti Tautan Kasih Bersama Orang Asli Sungai Berua, baru-baru ini.

Tambahnya lagi, jika barisan kepimpinan J3K dalam daerah ini terutama pengerusinya didapati masih mengulangi perbuatan tersebut, tindakan tegas akan diambil dan bakal berdepan sama ada ditukarkan atau pelantikan ditarik balik walaupun memberikan perkhidmatan yang terbaik.

"Sekali lagi saya tegaskan bahawa sebagai mata dan telinga kerajaan, J3K harus bekerja mengembalikan keyakinan rakyat..pikul tanggungjawab bersama dan pastikan kerajaan yang ada kekal memerintah,"kata Azmi.

Tag: