Sebat di Khalayak : Tiada Isu Islamofobia, Selari Prinsip Islam - Ketua Hakim Syarie
‘Jaga REE, Jangan Biar Dirompak Seperti Royalti Minyak’
KUALA TERENGGANU, 23 April - Kerajaan Negeri dinasihat supaya sentiasa berjaga-jaga dengan memelihara sebaik mungkin sumber unsur nadir bumi (REE) agar ia tidak ‘dirompak’ seperti hasil petroleum.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor memberi peringatan itu di sebalik usaha dan momentum berterusan Kerajaan Terengganu untuk memacu ekonomi negeri dalam sektor terbabit.
“Melihat kepada momentum perindustrian, perdagangan dan pelaburan yang semakin baik ini, ditambah pula dengan peningkatan prestasi produktiviti pekerja negeri kita yang memberangsangkan, saya optimis ia berupaya memacu pertumbuhan ekonomi negeri kita mencapai sasaran yang ditetapkan.
“Namun, Kerajaan Negeri juga diingatkan agar sentiasa berhati-hati agar sumber mineral kita tidak dirompak seperti yang berlaku ke atas hasil daripada minyak dan gas asli negeri kita bak kata pepatah sekalilah si buta kehilangan tongkat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja Sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman hari ini.
Terdahulu Zuraida berkata, beliau amat berbangga usaha proaktif Kerajaan Terengganu dalam memajukan industri REE di negeri.
Ujarnya, keseriusan Terengganu kini sudah mula menampakkan hasil melalui dua perjanjian memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat gergasi luar negara.
“Saya mewakili seluruh rakyat memberikan sokongan dan dukungan penuh kepada Kerajaan Negeri dalam menjayakan agenda ini supaya dapat menjana hasil yang maksimum kepada negeri, selain dapat menarik lebih banyak pelaburan serta mengukuhkan pasaran pekerjaan di negeri ini,” jelasnya.
Semalam, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, Terengganu berpotensi menjadi negeri pengeluar serta pemprosesan utama REE di Malaysia jika hasil itu berjaya diurus dengan baik.
Baginda bertitah, dengan memiliki sumber REE paling banyak iaitu sekitar 7,187,500 tan daripada 15.2 juta yang ada di negara ini, kerajaan negeri perlu menentukan kaedah terbaik perlombongan sumber baharu itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Zuraida berkata, pelaksanaan Pelan Penjanaan Pendapatan Baharu Negeri Terengganu (NIT) merupakan satu langkah bijak bagi menguatkan ekonomi negeri.
“Saya melihat ini merupakan satu langkah yang tepat setelah kita berdepan dengan tekanan bayaran royalti yang sentiasa dipermainkan oleh pihak yang tidak menghormati semangat federalisme.
“Apatah lagi permintaan terhadap minyak dijangka akan menurun sekitar 25 peratus menjelang 2030 ekoran daripada polisi dunia untuk beralih kepada kenderaan elektrik (EV) atau kenderaan hidrogen bagi menjaga kelestarian alam sekitar. Ini akan memberi kesan kepada pendapatan Negeri Terengganu dalam tempoh masa yang panjang,” tambah beliau.