Jakim Permudahkan Persijilan Halal


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mahu lebih ramai peniaga Bumiputera di negara ini memiliki Persijilan Halal Jakim.

Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Dato' Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, ketika ini sekitar 30 peratus peniaga Bumiputera mempunyai sijil halal itu berbanding keseluruhan.

Sehubungan itu, katanya, Jakim dengan kerjasama beberapa agensi lain sedang berusaha untuk memastikan lebih ramai peniaga Bumiputera memiliki persijilan halal itu.

"Usaha-usaha terus giat dilaksanakan bersama agensi pembimbing seperti MARA, RISDA, Felda dan lain-lain yang berusaha untuk membangunkan industri halal supaya memenuhi kriteria persijilan halal itu sendiri.

"InsyaAllah kita akan berusaha dari semasa ke semasa, saya mengharapkan mereka datang terus ke pejabat Jakim ataupun mana-mana pejabat agama Islam negeri, saya yakin mereka boleh membantu.

"Di Jakim kita mempunyai kaunter khas untuk persijilan halal ini untuk memberi bimbingan yang sewajarnya," katanya.

Sirajuddin berkata demikian kepada media pada Program National Halal Business Forum anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) di Hotel Primula, Kuala Terengganu, semalam.


Majlis perasmian program itu disempurnakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato' Mohd Zubir Embong.

Turut hadir, Timbalan Presiden DPMM, Dato' Seri Syed Hussein Al Habshee dan Yang Dipertua DPMM Terengganu, IR. Mohd Azmi Ali.

Sirajuddin berkata, proses untuk kelulusan persijilan halal itu juga dipercepat sejak Jun lalu bagi memberi kemudahan kepada orang ramai.


Tag: