• 20 Sept 2024 | 16 Rabiul Awal 1446

Jalan Berisiko Di Telok Kalong - Bandar Baru Kijal Akan Dibaiki Segera


Kerajaan negeri akan membaik pulih jalan rosak dan berisiko menyebabkan kemalangan di sepanjang Kawasan Perindustrian Telok Kalong ke Bandar Baru Kijal, Kemaman dengan kadar segera.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau Negeri Ir. Rosli Othman berkata, pihaknya sedia maklum dengan struktur permukaan jalan yang boleh mengundang bahaya serta memandang serius aduan orang ramai mengenai perkara itu.
"Kerajaan negeri menetapkan strategi jangka masa pendek dan panjang bagi menaik taraf jalan raya di laluan tersebut bagi memberi kemudahan dan keselesaan kepada pengguna.
"Sebagai langkah jangka masa pendek kita mengarahkan (Syarikat) Roadcare M. Sdn Bhd dan Jabatan Kerja Raya Daerah Kemaman untuk membuat pemantauan serta kajian rapi di beberapa lokasi bahaya di sepanjang laluan itu bagi tujuan pembaikan segera," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Hari Alam Sekitar Negara Peringkat Negeri Terengganu mewakili Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman di Uptown Kemasik semalam.

Rosli berkata, sebelum ini ramai pemandu dan pengguna mendakwa terdapat beberapa lokasi di sepanjang laluan berkenaan rosak dan tidak stabil serta menyebabkan berlaku banyak kemalangan termasuk kemalangan maut membabitkan dua anggota polis trafik baru-baru ini.
Tambah beliau, laluan tersebut juga merupakan satu-satunya jalan utama menuju ke Kawasan Perindustrian Telok Kalong dan Pelabuhan Bekalan Kemaman (KSB).
"Kerajaan negeri sememangnya mempunyai langkah jangkamasa panjang untuk menaik taraf sepanjang laluan berkenaan kepada empat lorong selepas peruntukan yang dipohon melalui Koridor Ekonomi Wilayah Timur (ECER) diperolehi nanti.
"Apabila ia siap kelak, Terengganu bakal mempunyai sistem jalan raya empat lorong untuk memberikan perkhidmatan lebih selesa dan selamat kepada pengguna," katanya.
Program anjuran Jabatan Alam Sekitar Negeri Terengganu turut mendapat kerjasama pelbagai agensi lain termasuk Petronas Berhad, Repsol, Tenaga Nasional Berhad, CJ Bio Malaysia, Bakti Malaysia Sdn.Bhd., Felda Global Ventures, Kemaman Bitumen Sdn. Bhd dan beberapa lagi.
Pelbagai acara menarik diadakan seperti senamtari, Enviro Walk, Berjalan 10 Ribu Langkah, Pertandingan Mewarna, Mencanting Batik, Bolasepak, Sukaneka, pameran agensi kerajaan swasta dan sebagainya.

Tag: