Jalin Kerjasama Selesai Masalah Komuniti




Oleh :Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 10 April- Majlis Pengurusan Komuniti Kampung(MPKK) digesa agar sentiasa berganding bahu antara ahli jawatankuasa untuk menyelesaikan masalah komuniti setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berharap setiap ahli jawatankuasa perlu  membawa masalah pengadu untuk diambil tindakan bersama.

"Jangan memikirkannya seorang diri, pening nanti, seharusnya dibawa bincang bersama agar satu kata sepakat dapat dibuat," katanya.

Teguran berkenaan disampaikan ketika berucap merasmikan Taklimat Bantuan Zakat MAIDAM di Dewan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) Dungun, di sini pada 9 April.

Beliau turut menyentuh kerjasama yang mesti sentiasa diwujudkan antara MPKK dan agensi-agensi kerajaan untuk setiap kemudahan yang disediakan sampai ke sasaran.

" Kita dengan agensi pun, kita anggap dia adalah tempat kita merayu untuk dapat apa-apa kemudahan untuk komuniti," ujarnya di hadapan MPKK yang hadir.

Di majlis tersebut, Alias juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Pusat Zakat MAIDAM Dungun yang telah banyak menyelesaikan pelbagai masalah penduduk terutamanya yang tinggal di DUN Rantau Abang.

" Sepanjang empat bulan ini hampir sebahagian kesusahan masyarakat terutamanya di DUN Rantau Abang berjaya diselesaikan.

"Ini tidak lain tidak bukan adalah atas usaha yang bersungguh-sungguh pihak MAIDAM yang berhasrat agar bantuan zakat sampai kepada kumpulan sasaran, tahniah saya ucapkan," katanya

Taklimat anjuran Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera(i-MiTS) DUN Rantau Abang itu, telah disampaikan oleh Pegawai Eksekutif Pusat Zakat MAIDAM Dungun, Abd Fatah Mamat.


Tag: