Jambatan Baru Daya Penarik Pengunjung Ke Batu Payung
DUNGUN, 9 Oktober - Jambatan baru dengan tembok batu yang siap dibina bakal menjadi daya tarikan dan memudahkan orang ramai untuk mengunjungi pusat perkelahan Batu Payung di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, sebelum ini jambatan tersebut berjeriji besi serta berkarat dan rosak, mengundang bahaya kepada orang ramai yang lalu lalang.
"Sekarang dengan adanya tembok batu ini, orang ramai tidak perlu lagi bimbang untuk melalui jambatan tersebut untuk ke Batu Payung yang terletak di muara sungai Dungun," katanya.
Alias memberitahu demikian ketika dihubungi pemberita selepas meninjau jambatan yang menjadi laluan utama ke tempat itu baru-baru ini.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Teluk Bidara, Mohd Affindi Ngah melahirkan rasa syukur dengan siapnya tembok batu jambatan tersebut yang merupakan satu-satunya jalan ke pusat perkelahan yang menjadi tumpuan orang ramai itu.
"Kalau sebelum ini, jeriji besi yang dipasang di kedua-dua bahagian jambatan cepat rosak akibat air masin, jadi kami (MPKK) memang membuat permohonan agar diganti dengan tembok batu supaya tahan lama," ujarnya.
Katanya, setiap hujung minggu memang ramai pengunjung datang ke Batu Payung untuk berkelah dan mandi-manda.
"Kalau dulu tempat ini menjadi 'sarang' penagih dadah tetapi alhamdulillah dengan adanya gotong-royong yang sentiasa dilakukan bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan orang ramai, tempat tersebut telah menjadi destinasi orang ramai untuk beriadah," ujarnya.