MARANG, 22 Oktober - Kerisauan penduduk terhadap jambatan yang runtuh pada tahun lalu akibat banjir besar berakhir setelah kemudahan itu telah siap dibina baru sepenuhnya.
Jambatan yang menghubungkan antarai Kampung Batu 9 dan Bukit Payong berkenaan menjadi laluan utama penduduk setempat untuk menyeberangi ke kampung terdekat terutama pasar Bukit Payong bagi membeli keperluan harian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah berkata, kemudahan tersebut merupakan satu kepentingan untuk rakyat melakukan kerja harian dengan lebih efisyen.
"Mungkin ada sedikit kelewatan untuk disiapkan akibat permasalahan yang dihadapi tetapi sekarang sudah pun siap dan boleh digunakan dengan sebaiknya.
"Berkat kesabaran penduduk atas ujian yang diterima tahun lalu, jambatan baru telah dibina dan jambatan ini, InsyaAllah akan lebih teguh dan selamat untuk digunakan," katanya ketika ditemui dalam tinjauan ke jambatan tersebut hari ini.
Pada masa yang sama beliau juga memaklumkan terdapat sebuah lagi jambatan turut dibina bersebelahan jambatan itu dan dalam prosesnya sedang berjalan.
"Bersebelahan jambatan ini juga terdapat sebuah lagi jambatan yang menghubungkan lalu yang sama masih dalam proses pembinaan untuk kemudahan penduduk setempat," tambah beliau.