Janaan Hasil Era Dr. Sam Lebih Tinggi Ketimbang MB Terdahulu

KUALA TERENGGANU, 24 November - Janaan hasil negeri Terengganu di bawah pentadbiran Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar merekodkan pencapaian yang lebih tinggi berbanding pada era dua Menteri Besar terdahulu.

Ketua Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan Dasar Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS), Mohd Eikhwan Ali berkata, data berkenaan dikumpul bagi tempoh tiga tahun perkhidmatan penuh yang terakhir dan tidak termasuk tahun peralihan.

“Di bawah pentadbiran Dato’ Seri Ahmad Said (2011-2013) sebanyak RM673.5 juta hasil dicatatkan dengan purata RM224.5 juta setahun, semasa pentadbiran Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman (2015-2017) pula, hasil dikumpul ialah RM713.2 juta dengan purata RM237.7 juta setahun.

“Manakala di era Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar iaitu bagi tahun 2021 hingga 2023, Kerajaan Negeri menjana hasil sebanyak RM791.7 juta dengan purata RM263.9 juta setahun, sekali gus menjadikan ia paling tinggi berbanding dua Menteri Besar sebelumnya,” jelas beliau ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini.

Mohd Eikhwan.

Menurut beliau lagi, data itu juga selari dengan kadar kebergantungan Kerajaan Negeri terhadap royalti petroleum bagi tempoh sama tiga pentadbiran terbabit.

Jelasnya, Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ahmad Said merekodkan kadar kebergantungan terhadap royalti paling tinggi mengatasi Ahmad Razif dan Ahmad Samsuri.

“Ahmad Said menerima royalti petroleum dari 2011 hingga 2013 berjumlah RM6.64 bilion dengan purata RM2.21 bilion setahun, manakala Ahmad Razif Abdul Rahman yang memimpin negeri pada 2015 hingga 2017 mendapat RM4.70 bilion dengan purata RM1.57 bilion setahun.

“Sementara itu, Ahmad Samsuri menerima royalti petroleum paling sedikit dengan jumlah RM3.48 bilion bagi 2021 hingga 2023 menjadikan purata RM1.16 bilion setahun,” katanya.

Tambah Mohd Eikhwan, sekalipun hanya ‘bergantung’ dengan sejumlah RM3.48 bilion hasil royalti petroleum, Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ahmad Samsuri masih mampu mengekalkan keutuhan pentadbiran walaupun penuh mencabar. 

“Bahkan lebih banyak inisiatif baru diperkenalkan seperti lesen motosikal percuma untuk belia, pencen warga emas, baucer RM500 bagi rawatan kesihatan di klinik swasta dan caj percuma bagi pesakit di wad kelas ketiga di hospital kerajaan.

“Menerusi Belanjawan 2025 yang dibentangkan minggu lepas pula, Menteri Besar menyasarkan hasil janaan negeri ini bakal mencecah RM510 juta menjelang 2030,” katanya.


Tag: