Jangan Biar Anak Terlalu Bebas, Dikhuatiri Terperangkap 'Dadah Sintetik'

SETIU, 13 Ogos- Ibu bapa di negeri ini disaran agar tidak memberikan kebebasan kepada anak remaja terutama yang masih berada di bangku sekolah kerana dikhuatiri akan terlibat dengan gejala penagihan dadah sintetik yang kini kian menular dan menjadi trend.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, sikap sambil lewa dan mengabaikan anak-anak menjadi punca remaja mudah terlibat dengan perkara itu.

Katanya, masalah itu bolrh menjadi faktor kepada keruntuhan institusi kekeluargaan.

"Kesan kepada penglibatan remaja dalam gejala penagihan dadah jenis sintetik (tiruan) ini boleh menyebabkan kemusnahan bukan hanya kepada diri dia sahaja, tetapi akibat akal yang rosak pelaku akan bertindak lebih ganas termasuk sanggup membunuh dan membawa kepada bencana lain.

"Jadi gangguan ini akan menyebabkan kemusnahan dalam institusi keluarga, masyarakat dan akan menghakis kebahagian.

"Jadi anak-anak ini perlu dibentuk dari awal oleh ibu dan ayah kerana mereka membesar dari bayi sehingga remaja adalah dalam keluarga, jadi ahli keluarga mesti memainkan peranan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) semasa Program Jelajah Kebajikan 'Jalinan Kasih Tautan Budi' Peringkat Daerah Setiu, di sini, hari ini.

Mengulas lebih lanjut katanya, hilang pantauan daripada ibu bapa akan lebih memburukkan keadaan untuk terlibat dengan gejala yang tidak bermoral itu.

"Saya suka nasihatkan kepada semua jangan beri kebebasan kepada anak-anak, jagalah mereka.

"Kerana apabila anak-anak terlalu bebas jadi mereka akan mengisi kelompongan masa dengan pengisian yang akan merosakkan diri.

"Adalah lebih baik jika kita pastikan anak-anak kita ini luangkan waktu bersama kita dan keluarga dengan melakukan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan dan suka menghabiskan masa di rumah demi kebahagian bersama," ujarnya.