KUALA TERENGGANU, 16 Ogos - Kerajaan negeri berterima kasih kepada agensi air daripada lapan buah negeri yang terlibat menyumbangkan bantuan sepanjang ketiadaan air di beberapa daerah di negeri ini baru-baru ini.
Antara yang terlibat menyalurkan air berkenaan ialah Syarikat Air Johor (7 buah lori tangki air), Pengurusan Air Selangor (4 buah), Pengurusan Air Pahang (2 buah), Lembaga Air Perak (2 buah lori beserta satu kenderaan pacuan empat roda).
Manakala Syarikat Air Melaka, Kelantan, Kedah dan Negeri Sembilan masing-masing menghantar sebuah lori tangki air sepanjang permasalahan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata ia merupakan satu perkara yang sangat baik dalam memastikan keperluan utiliti setiap rakyat di negeri ini dapat diatasi.
"Kerana kita tahu ketiadaan air ini merupakan perkara yang sangat sukar untuk dihadapi oleh seluruh masyarakat tetapi apa boleh buat kadang-kadang perkara yang di luar jangkaan ini boleh berlaku.
"Insya-Allah kita akan cuba berusaha melalui kaedah serta tindakan yang terbaik agar perkara seumpama ini tidak akan berlaku lagi, ia merupakan suatu perkara yang selama ini tidak pernah berlaku melibatkan akaun pengguna yang besar seramai 28,700.
"Alhamdulillah pengalaman yang dilalui ini sangat beerti bagi kerajaan Terengganu. Melalui perancangan yang dilakukan oleh pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) maka kerjasama seumpama ini dapat dilakukan dengan kesemua pihak yang terlibat saling bantu membantu diantara satu sama lain," ujarnya.
Beliau berkata demikian, ketika berucap menyatakan penghargaan kepada seluruh pemandu lori tangki serta para petugas daripada negeri luar yang terlibat dalam misi membantu menyalurkan bantuan air, di ibu Pejabat Syarikat Air Terengganu (SATU) pada baru-baru ini.
Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah SATU, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun.
Dr Mamad berkata pihak keraajaan sangat terhutang budi atas pertolongan mereka yang akan mula pulang ke negeri masing-masing pada hari ini setelah berkhidmat membantu memudahkan urusan rakyat sepanjang mengalami ketiadaan bekalan air.
"Saya difahamkan semua telah melakukan tugas dengan baik dengan bantuan daripada Jabatan Amal Malaysia (JAM) serta Jawatankuasa Pembangunan Komuniti dan Keselamatan Kampung (JPKK) air telah dapat disampaikan ke lokaliti terbabit," ujarnya.
Sebagai tanda penghargaan kerajaan telah turut menyampaikan kepada semua sedikit saguhati serta sijil penghargaan kepada setiap operator tanker.
Dalam pada itu, Burhanuddin berkata penghargaan dan pujian seharusnya diberikan kepada para petugas berkenaan yang telah berkerja dengan sepenuh hati.
"Semua pihak ini telah memainkan peranan yang terbaik dalam menghadapi suasana yang agak genting ini yang tidak pernah berlaku lagi sebelum ini.
"Begitu banyak pengajaran dan pengalaman yang diperolehi, saya rasa semua orang telah bertugas dengan penuh dedikasi, saya sangat berterima kasih," ujarnya.
Sementara itu, seorang petugas daripada Lembaga Air Perak, Jimra Hisham Mohamed Yatim berkata, dengan pengalaman yang dimiliki ia tidak menghadapi masalah sepanjang menjalankan misi bantuan berkenaan.
"Pada awalnya agak kelam kabut sedikit ketika baru berlaku itu biasa, sebab tidak pernah menghadapi keadaan seumpama seperti ini, tidak sebagaimana Selangor atau Melaka yang pernah juga menghadapi krisis seperti ini.
"Sebelum datang ke Terengganu ini saya baru sahaja pulang dari Muadzam Shah, Pahang bulan lepas yang turut menghadapi keadaan seperti ini. Namun dengan memastikan bantuan air yang mencukupi suasana berkenaan dapat diatasi," katanya.
Salah seorang petugas daripada Pengurusan Syarikat Air Selangor, Mohamad Farizal Mohd Ehsan pula berkata dirinya selalu berpesan kepada rakan-rakan dan setiap petugas untuk sentisa memtahui prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang menjalakan tugas.
"Agar sepanjang menjalankan misi ini tidak mendatangkan sebarang masalah serta dapat menyampaikan bantuan air dengan sempurna.
"Alhamdulillah kerja dapat dilakukan dengan baik daripada semua pihak yang terlibat dari pelbagai negeri menjadikan ia satu pengalaman yang sangat bermakna dalam memastikan rakyat negeri ini yang pertama kali menghadapi situasi seperti ini dapat ditangani dengan baik melalui kerja berpasukan," ujarnya.