JHEAT Jadi Tonggak Jayakan Terengganu Maju, Berkat Dan Sejahtera

Mohd Nor menyampaikan cenderahati sempena persaraan pegawai dan kakitangan JHEAT. Foto oleh Abu Ubaidah Mohd Noor

Kerajaan negeri meletak harapan tinggi kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT) supaya menjadi  agensi utama yang mampu menjayakan tema `Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera'.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, agama menjadi asas untuk membina kemajuan dan ianya datang dari kesedaran masyarakat itu sendiri.

Jelasnya, apabila minda dan hati manusia menjadi miskin, ini akan menyebabkan mereka tidak mampu bekerja dan bersikap proaktif. Oleh yang demikian, pejabat agama memainkan peranan untuk mengkayakan hati dan minda mereka supaya bersikap positif untuk memajukan negeri, kehidupan mereka dan keluarga.

"Keduanya melalui agama, sudah tentu memberi garis panduan kepada masyarakat untuk mendapat berkat dalam kerja yang dilakukan termasuk negeri ini akan mendapat berkat dari Allah yang sudah tentunya diatur dengan agama.. datang melalui penyusunan dari pejabat agama.

"Akhirnya sejahtera yang paling asas iaitu kesejahteraan hati yang perlu diwujudkan oleh pejabat agama dengan ilmu, dakwah, pendidikan, kerohanian dan sebagainya oleh agensi ini melalui agenda mereka bagi mengimarahkan seluruh ruang-ruang bagi memberi kefahaman kepada masyarakat dengan agama dan beramal agar tema negeri terlaksana dengan baik," katanya.


Beliau berkata demikian kepada Teganukita di Majlis Meraikan Persaraan Pegawai dan Kakitangan JHEAT bagi tahun 2018 di Dewan Auditorium, Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu,hari ini.

Turut hadir Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu yang  juga Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Wan Ismail Sahaimi Wan Omar.

Seramai 32 pegawai dan kakitangan JHEAT pelbagai peringkat diraikan sempena persaraan dan pertukaran pada tahun ini.


Sementara itu, Wan Ismail berkata majlis yang diadakan itu merupakan tanda penghargaan dan penghormatan sebagai mengenang bakti yang dicurahkan sepanjang bergelar penjawat awam.

"Walaupun saya merasakan penghargaan yang diberikan pada hari ini tidak setimpal jika dibandingkan dengan jasa sepanjang mereka berkhidmat namun sedikit sebanyak jasa mereka tetap dikenang dengan penganjuran majlis serta pemberian cenderahati dalam penganjuran majlis kali ini," katanya.

Tag: