Johan Qari Mahu Kekalkan Legasi Keluarga Haji Ali
DUNGUN, 25 Januari - Legasi keluarga Haji Ali terus menguasai persada Majlis Tilawah Peringkat Daerah Dungun 1445/2024 dan kali ini anak - anak Almarhum pula telah dinobatkan sebagai Johan Qari dan Qariah, baru-baru ini.
Dalam majlis yang berlangsung di Pusat Latihan Kerteh, Felda Kerteh 2, Mohamad Mustafa Ali, 34, telah diumumkan sebagai johan Qari, manakala adiknya, Siti Nasuha Ali, 30, muncul johan Qariah dengan masing-masing membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM2,000 berserta piala iringan, plak cenderahati dan sijil penyertaan.
Mustafa yang bertugas sebagai imam dan guru al-Quran menyifatkan, didikan yang diberikan almarhum ayah kepada adik-beradiknya merupakan suatu pusaka berharga buat seluruh keluarganya.
"Kami belajar taranum dari ayah sejak kecil. Bahkan, ketika beliau sudah berumur dan tidak larat lagi bertanding, beliau yang bersungguh-sungguh suruh kami menyertai Majlis Tilawah malah, tolong ambil dan isikan borang penyertaan.
"Mengenang hal itu, saya juga berhasrat mengikut jejak ayah untuk meneruskan legasi ini dengan mewariskan minat dan kemahiran kepada anak-anak di kemudian hari nanti," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini.
Beliau yang kini sedang menanti kehadiran cahaya mata pertamanya, sempat menyelitkan nasihat hasil pengalaman didikan almarhum ayahnya suatu ketika dahulu.
"Kepada ibu bapa yang ingin anak-anak menguasai ilmu-ilmu al-Quran, tanamkan minat anak-anak dari kecil. Itu yang ayah lakukan kepada kami dahulu dengan melazimkan untuk mendengar bacaan daripada qari-qari terkemuka.
"Setelah ada minat, insya-Allah apabila sudah besar mereka akan belajar dan mencari ilmu-ilmu untuk mengukuhkan apa yang dipelajari seperti menyertai kelas, berguru dan sebagainya," katanya.
Mustafa dan Siti Nasuha berharap dapat mewakili daerah Dungun pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri yang dijadual berlangsung di Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, Kuala Nerus Terengganu pada 27 hingga 29 Februari depan.