KUALA TERENGGANU, 13 November - Kerajaan negeri melalui Pejabat Daerah dan agensi-agensi berkaitan telah mengarahkan seluruh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di seluruh Terengganu untuk bersiap siaga menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato' Hanafiah Mat berkata, JPKK akan memainkan peranan penting sebagai barisan hadapan bagi membantu memastikan keselamatan, kesejahteraan dan kebajikan penduduk kampung sentiasa terpelihara sepanjang musim banjir.
"Antara peranan utama JPKK dalam menghadapi MTL adalah seperti berikut menyalurkan maklumat awal berkaitan amaran cuaca dan banjir kepada penduduk melalui pelbagai saluran komunikasi.
"Memantau kawasan mudah banjir, tanah runtuh dan hakisan sungai serta melaporkan kepada pihak berkuasa daerah untuk tindakan segera.
"Membantu menyenaraikan dan memindahkan penduduk berisiko tinggi ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dengan teratur,"ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini.
Mengulas lebih lanjut, Hanafiah berkata JPKK juga akan turut menyelaras penyimpanan dan pengagihan bantuan asas seperti makanan dan keperluan harian kepada mangsa banjir.
"Selain itu, akan mengetuai aktiviti pembersihan rumah dan kemudahan awam selepas banjir bagi mempercepatkan proses pemulihan.
"Setelah itu akan mengumpul dan menyerahkan data kerosakan harta benda serta infrastruktur kampung kepada Pejabat Daerah untuk tindakan lanjut,"katanya.
Ujarnya lagi, JPPK akan turut memainkan peranan sebagai penghubung antara penduduk dan agensi kerajaan dalam pelaksanaan langkah kesiapsiagaan dan bantuan bencana.
"Secara keseluruhannya, peranan JPKK semasa musim MTL amat penting sebagai mata dan telinga kerajaan negeri di peringkat akar umbi.
"Memastikan semua tindakan kesiapsiagaan, tindak balas kecemasan dan pemulihan pasca bencana dapat dilaksanakan dengan pantas, tersusun dan berkesan demi keselamatan rakyat Terengganu.