JPPH Dalam Proses Kumpul Data Nilai Tanah Projek ECRL


Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) Negeri Terengganu kini dalam peringkat awal mengumpul data  bagi melihat jajaran terlibat untuk  proses pengambilan tanah di seluruh Terengganu bagi membangunkan projek berimpak tinggi Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL).

Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta JPPH, Dr Rahah Ismail, berkata penilaian dan pampasan nilai tanah yang turut menggunakan pengimejan satelit bagi melibatkan jarak 227 kilometer (km) akan dilaksanakan menerusi tiga cawangan JPPH masing-masing di Kuala Terengganu, Chukai dan Jertih.

“Projek ini mahu disiapkan segera dan kita sedang dalam proses awal untuk mempersiapkan segala data bagi disalurkan kepada  pihak berwajib berdasarkan laluan projek yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Pantai Timur ini, supaya dapat dibangunkan segera.

“Kami sudah dipanggil Kementerian Kewangan dan pejabat cawangan yang terlibat juga sudah mendapat taklimat bagi melaksanakan projek yang menjadi tunjang bagi merancakkan ekonomi negeri serta melengkapkan infrastruktur lebuh raya sedia ada,” katanya kepada media sempena lawatan kerja ke JPPH negeri Terengganu, di Jalan Pejabat, Kuala Terengganu, hari ini.


Dr Rahah berkata, pihaknya akan memastikan penilaian itu dibuat dengan terperinci dan lengkap dengan mengambil kira data-data sedia ada serta juga tertakluk kepada maklumat serta kelengkapan yang menyokong kepada proses penilaian harta tanah berkenaan.

ECRL sejauh 227 kilometer (km) dengan cadangan bagi empat jejari jajaran adalah 71 km yang membabitkan jarak sejauh 298 km dan Stesen Kampung Raja, Stesen Penarik, Stesen Dungun dan Stesen Chukai.

Stesen baru yang dicadangkan  iaitu Stesen Kuala Nerus, Stesen Kuala Telemong dan Stesen Pengkalan Berangan yang pada asalnya adalah Stesen Ajil serta Stesen Kemasik bagi menggantikan Stesen Paka.

Dalam pada itu, Stesen Bukit Besar tidak dapat direalisasikan kerana merentasi banyak kawasan pembangunan selain radius dan sudut laluan terlalu tajam yang tidak sesuai dengan kelajuan kereta api.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman dalam kenyataan sebelum ini berkata, perubahan dilakukan kerana beberapa faktor seperti lokasi tidak sesuai dan keselamatan yang mana pemilihan lokasi baru berdasarkan konsep pelancongan dan warisan.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika pembentangan Bajet 2017 mengumumkan kerajaan akan membina landasan kereta api laju dari Kuala Lumpur ke Terengganu seterusnya ke Tumpat, Kelantan membabitkan perbelanjaan keseluruhan RM55 bilion yang dijangka siap sepenuhnya pada  2022.

Tag: