• 08 Nov 2024 | 06 Jamadil Awal 1446

Jual Roti Canai 50 Sen, Berniaga Sambil Sedekah

KUALA TERENGGANU, 26 Februari – Seorang peniaga di Chendering, di sini nekad menjual roti canai serendah 50 sen dengan niat mahu membantu masyarakat setempat.

Seorang peniaga, Rohaizal bin Hassan, 52 berkata, terdetik untuk menjual roti canai harga murah selepas menonton sebuah rancangan televisyen yang memaparkan sebuah gerai di Kedah yang menjual roti canai pada harga yang tidak masuk akal.

“Selepas menonton rancangan itu menimbulkan persoalan dalam diri saya dan membuatkan saya ingin menjual roti canai dengan harga yang murah.

“Di samping, roti canai 50 sen itu merupakan sebahagian daripada saham akhirat saya kerana mahu membantu masyarakat setempat yang terkesan dengan kos sara hidup sekarang," jelasnya.

Dia berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman, Chendering di sini baru-baru ini.

Katanya, rata-rata pelanggannya adalah penduduk kampung, pekerja kilang dan pelajar-pelajar yang mempunyai pendapatan tidak menentu dan masih belajar.

Di samping katanya, dia tidak pernah menyesal menjual hidangan itu pada harga 50 sen meskipun berdepan peningkatan harga kos bahan mentah.

Katanya, orang berniaga hendaklah banyak bersedekah, kerana rezeki orang berniaga luas.

“Terdapat juga komen daripada beberapa pihak mengenai harga murah namun saya tetap kekalkan harga ini kerana rezeki masing-masing.

“Gerai roti canai Rohaizan yang beroperasi jam 8.30 hingga tengahari pada setiap hari itu turut menyediakan beberapa menu lain bermula pada harga 50 sen hingga RM1.50," katanya.

Antara menu yang dijual di gerainya ialah pelbagai jenis roti canai, samosa dan kuih keramat.

 

 

 

 

 


Tag: