Jualan Durian Di Terengganu: 71 Tan Metrik Hingga 31 Julai lalu

Penggemar durian teruja dengan 'jualan anak beranak' FAMA di Pulau Kambing. Mereka berduyun-duyun datang membeli durian di situ dengan harga serendah RM5 sekilogram. 
KUALA TERENGGANU, 8 Ogos – Para peniaga Terengganu berjaya menjual sebanyak 71 tan metrik durian pelbagai jenis dengan harga RM350,080 di seluruh negeri ini dengan kekerapan sebanyak 21 kali jualan sehingga 31 Julai lalu.

Pengerui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Ishak Ismail berkata, sebanyak 65 tan metrik durian dengan harga RM296,580 dijual di pasar tani dengan kekerapan sebanyak 16 kali.

Ini termasuk di Padang Hiliran, Kuala Terengganu (empat kali), Chukai Kemaman dan KT Walk Kuala Terengganu (masing-maing tiga kali) Gong Badak Kuala Nerus dan Jerteh (masing-masing dua kali), Pantai Penunjuk, Kijal dan Kuala Berang, Hulu Terengganu (masing-masing satu kali).

Beliau berkata demikian ketika membuat satu kenyataan media sempena Majlis Pelancaran Jualan Durian Day (Jualan Anak Beranak) dan Hari Bertemu Pelanggan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Terengganu di Perkarangan Pejabat FAMA Negeri Terengganu di sini semalam.

Ishak berkata, sebanyak tiga tan metrik durian dengan harga RM27,500 dijual di Pasar Tani Kekal (PTK) Kerteh Kemaman dengan kekerapan jualan sebanyak dua kali.
Ishak Ismail

“Turut dijual sebanyak tiga tan metrik raja buah itu dengan kekerapan sekali jualan di Perkarangan Pejabat FAMA Negeri dengan harga RM26,000,” jelasnya.

Beliau berkata, antara buah-buahan yang dijual di Terengganu tahun ini ialah Durian Kampung Gred A, Durian Kampung Gred B, Durian Jenis Musang King, Manggis dan Rambutan.

Katanya, harga Musang King di ladang ialah antara RM32 hingga RM34 sekilogram, harga borong (antara RM35 hingga RM38 sekilogram) dan harga runcit (antara RM40 hingga 45 sekilogram) dikira pada harga kelmarin.

“Durian Kampung Gred A pula dijual dengan harga antara RM5 hingga RM6 sekilogram di ladang, harga borong (antara RM7 hingga RM8 sekilogram) dan harga runcit RM10 sekilogram.

“Durian Kampung B dijual dengan harga antara RM2.50 hingga RM3.00 sekilogram, harga borong antara RM5 hingga RM6 sekilogram dan harga runcit (antara RM7 hingga RM8 sekilogram),” jelasnya lagi.

Harga manggis pula katanya dijual antara RM2 hingga RM3 sekilogram di ladang, antara RM3 hingga RM3.50 sekilogram secara borong manakala harga runcit pula antara RM4 hingga RM5 sekilogram. 

Dalam pada itu harga rambutan di ladang pula ialah antara RM2 hingga RM2.50 sekilogram, harga borong (antara RM3 hingga RM3.50 sekilogram) manakala harga runcit pula antara RM4 hingga RM5 sekilogram.

Sementara itu sebanyak 95.83 tan metrik buah-buahan dengan nilai RM594,991 berjaya dijual di seluruh negeri Terengganu tahun lalu.

Tag: