• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Kaedah Bayaran Royalti Pelik Bebankan Kerajaan, Penjawat Awam

KUALA TERENGGANU, 25 April - Kerajaan Terengganu menyifatkan kaedah baharu pembayaran royalti petroleum yang ada ketika ini sebagai pelik, menyusahkan negeri dan membebankan penjawat awam di Putrajaya. 

Mengambil satu contoh, Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pembayaran berpilih (selective payment) kepada projek pembangunan atau perkhidmatan ini dibayar terus oleh Kerajaan Pusat kepada kontraktor di Negeri walaupun surat setuju terima dan dokumen kontrak adalah antara Kerajaan Negeri dan Kontraktor.

"Tetapi kami akur, kerana itulah pada ketika ini yang boleh menyelesaikan urusan pembayaran-pembayaran yang ada dinyatakan dalam Belanjawan Negeri.

"Kita juga sedar bahawa pelaksanaan kaedah sebegini hanya memberi bebanan kerja baharu kepada pihak Putrajaya dan Negeri, sedangkan semua tahu bahawa akaun kewangan Negeri akan tetap diaudit secara telus oleh jabatan berkaitan.

"Ini dibuktikan dengan dapatan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) yang menjalankan kajian, mereka mengesahkan Terengganu sebagai kerajaan paling telus membentangkan belanjawan atau pengurusan kewangan berbanding negeri lain di Malaysia, di mana ketelusan tersebut adalah dinilai menerusi ‘Malaysia Open Budget Index’ (MyOBI)," tegas beliau.

Ahmad Samsuri berkata demikian dalam ucapan penggulungan Titah Ucapan Perasmian Ke Bawah Duli Sultan Mizan Zainal Abidin di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke 15 di sini hari ini.

Menurut beliau, di sebalik bayaran secara pelik itu Kerajaan Persekutuan masih berhutang royalti petroleum dengan Terengganu sekurang-kurangnya RM700 juta untuk hasil 2023.

"Kerajaan Persekutuan telah membayar sejumlah RM802.2 juta daripada anggaran asal Kerajaan Negeri sebanyak RM1.52 bilion sebagai terimaan Kerajaan Negeri bagi tahun lalu.

"Daripada jumlah bayaran tersebut sebanyak RM651 juta adalah untuk emolumen, manakala RM109 juta adalah untuk 'deffered dan scheduled payment' (DSP), manakala RM42.1 juta pula adalah bayaran balik hutang Kerajaan Persekutuan," jelasnya.

Katanya lagi, untuk tahun 2024 Kerajaan Negeri menerima bayaran sebanyak RM301.7 juta berbanding anggaran terimaan sebanyak RM762 juta sebagai pemberian pertama tahun ini.

"Ini bererti bayaran tersebut masih kekurangan sebanyak RM461 juta, sehingga pemberian yang kedua pada bulan September nanti," jelasnya lagi.

Tambah Naib Presiden PAS itu, keadaan tersebut menimbulkan gangguan kewangan kepada Kerajaan Negeri secara mengejut kerana hasil petroleum ini adalah hak negeri yang diterima sejak sekian lama dan perancangan telah dibuat.

 


Tag: