lightning-solid
Berita :
Kajian Aspirasi Kerjaya Jadi Asas Kerajaan Bentuk Dasar Pekerjaan Belia Terengganu
Kajian Aspirasi Kerjaya Jadi Asas Kerajaan Bentuk Dasar Pekerjaan Belia Terengganu
Ahmad Zaeem Zainudin
23 Jul 26
1

KUALA TERENGGANU, 23 Julai - Laporan Kajian Aspirasi Kerjaya Terengganu yang dilancarkan hari ini akan dijadikan asas kepada kerajaan negeri dalam merangka dasar, polisi serta program pembangunan sumber manusia yang lebih berkesan bagi memenuhi keperluan pasaran pekerjaan semasa.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dato' Ariffin Deraman berkata, kajian yang dilaksanakan hasil kerjasama Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA), Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bersama Kerajaan Negeri menerusi Terengganu Human Resource Development Centre (THRDC) itu bertujuan memahami situasi sebenar yang dihadapi pencari kerja di negeri ini.

Beliau berkata, kajian tersebut melibatkan lebih 2,000 responden dan menjadi rujukan penting kepada kerajaan negeri dalam memperkukuh perancangan pembangunan modal insan.

"Jadi kajian ini bertujuan untuk memahami dengan lebih jelas apakah situasi dan cabaran mencari kerja semasa di negeri Terengganu di masa kini.

"Jadi kajian ini akan memberikan dapatan kepada kerajaan dalam proses perancangan dasar polisi dan program pembangunan sumber manusia. 

"Jadi kepada kami kajian ini amat penting," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas Majlis Peluncuran Laporan Kajian Aspirasi Kerjaya Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Menurutnya, hasil kajian itu turut mengenal pasti beberapa cabaran utama yang dihadapi pencari kerja di Terengganu, termasuk kecenderungan tenaga kerja berhijrah ke negeri-negeri lain yang menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan.

Bagaimanapun, katanya, fenomena tersebut bukan hanya berlaku di Terengganu, malah turut dialami negeri-negeri lain di seluruh negara.

"Kita dah kenal pasti masalah-masalah yang ada. Antaranya adalah, kita tak menafikan bahawa di Negeri Terengganu para pencari kerja mereka berhijrah ke Pantai Barat dan perkara ini sebenarnya berlaku di mana-manalah sama ada di sebelah utara, di sebelah selatan, di Pantai Timur sendiri.

"Semua negeri, mereka mencari tempat-tempat peluang pekerjaan yang lebih banyak dan kami pihak Kerajaan Negeri bukan sahaja memberikan fokus kepada mesti kerja dekat Terengganu.

"Tapi kita membuka peluang kepada pencari kerja dengan apa yang dianjurkan oleh THRDC," jelasnya.

Ulasnya lagi, antara usaha terbaru yang sedang digerakkan ialah kerjasama bersama pemain industri seperti Malaysia Airlines Berhad Engineering Services (MABES) yang membuka peluang kepada anak Terengganu mengikuti latihan sebelum diserap ke dalam sektor penerbangan.

Beliau menegaskan, meskipun penempatan pekerjaan itu mungkin berada di luar Terengganu, kerajaan negeri melihat ia sebagai perkembangan positif kerana memberi peluang kepada belia memperoleh pengalaman serta kepakaran dalam industri berkemahiran tinggi.

Pada masa sama, Ariffin berharap tenaga mahir kelahiran Terengganu yang memperoleh pengalaman di luar negeri dapat kembali menyumbang kepada pembangunan modal insan negeri melalui latihan dan perkongsian kepakaran.

Kajian Aspirasi Kerjaya Terengganu dijangka menjadi antara rujukan utama kerajaan negeri dalam memperkukuh strategi pembangunan tenaga kerja, meningkatkan kebolehpasaran graduan serta memperluaskan peluang pekerjaan kepada belia Terengganu pada masa hadapan.

Ia juga merupakan kajian kedua seumpamanya dilaksanakan oleh DOSM selepas Sabah, sekali gus meletakkan negeri ini sebagai perintis di Pantai Timur sebelum inisiatif itu diperluaskan ke negeri-negeri lain di seluruh negara.


Artikel Berkaitan