Pendebat Terbaik Bahasa Arab Terima Anugerah Khas EXCO Pendidikan
Kajian Impak Akan Dijalankan Melalui UPEN Dan TSIS
KUALA TERENGGANU, 27 Mac - Kerajaan negeri akan melakukan kajian impak pembukaan sempadan dalam fasa endemik COVID-19 melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) sebagaimana yang disyorkan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, usaha itu bagi memastikan Terengganu mampu mendepani cabaran ekonomi dan sosial untuk menjamin masa depan yang terbaik.
"Insya-Allah menjunjung kasih atas titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Terengganu maka kerajaan negeri akan melalukan kajian tersebut bagi berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi global yang secara langsung memberikan kesan kepada negeri Terengganu.
"'Blue Ocean Strategy' sudah tentunya akan digarap oleh pentadbiran kerajaan ini untuk meletakkan pemulihan ekonomi negeri dan rakyatnya berada di landasan yang betul dalam masa yang singat," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri Penggal Kelima Kali Ke-14, di Wisma Darul Iman, baru-baru ini.
Pada persidangan berkenaan, Ahmad Samsuri turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada ADUN yang telah bersetuju dan menyokong keputusan kerajaan untuk tidak membubarkan DUN sehingga tamat tempoh.
"Inilah juga harapan kita untuk peringkat Kerajaan Persekutuan, keputusan ini dibuat untuk memastikan kerajaan negeri dapat memberi fokus kepada isu-isu rakyat yang menjadi keutamaan kerajaan negeri.
"Tambahan pula kita bakal memasuki fasa endemik selepas ini, malah kita juga tidak mahu mengheret rakyat terlibat dengan pendekatan politik yang tidak menguntungkan mereka," ujarnya.