Oleh: Aslam Wira
MARANG, 30 Ogos – Kerajaan negeri bercadang menganjurkan Karnival Kebangsaan Silat Olahraga Piala Menteri Besar dalam tempoh terdekat bertujuan meraikan ahli-ahli Persatuan Silat Terengganu.
Yang Dipertua Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata perkara tersebut telah dipersetujui Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Katanya, beliau mencadangkan perkara itu ketika hadir merasmikan satu program Gema Merdeka Persatuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) di Kampung Medan Jaya. baru-baru ini.
“Dengan penganjuran program ini, saya berharap lebih ramai pesilat profesional dan berbakat dapat dilahirkan seperti Ratu Silat Negara, Siti Rahmah Mohamed Nasir yang telah mengharumkan nama ke peringkat antarabangsa, tidak lupa juga saudara Razak Ghazali dan lain-lain.
“Saya yakin apa yang kita usahakan ini adalah merupakan satu cetusan bahawa kita orang Terengganu mampu pergi lebih jauh sekiranya diberikan peluang.” ujarnya.
Dalam perkembangan yang sama, beliau yang juga Yang Dipertua PESAKA telah memberikan sumbangan RM3,000 bagi membantu majlis persiapan program Gema Merdeka tersebut.
Menurutnya lagi, dalam dunia persilatan, bukan menjadi tujuan untuk mencari lawan, tetapi adalah untuk memperjuangkan hak dan ketuanan kita apabila berada dalam keadaan yang tergugat.
“Dalam sejarah negeri kita, ramai pejuang yang mahir dalam persilatan Abdul Rahman Limbong, Syed Abdul Rahman Al-Idrus ataupun Tokku Paloh yang menentang penjajah pada masa dahulu, mereka adalah pejuang yang memberikan sumbangan untuk membagkitkan kesedaran kepada orang melayu dalam mencapai erti kemerdekaan,”katanya.