• 05 Nov 2024 | 03 Jamadil Awal 1446

Karnival Silat Kebangsaan Himpun lebih 3,000 Peserta

KUALA NERUS, 16 Disember – Karnival Silat Kebangsaan 2023 menghimpunkan lebih 3,000 peserta dari seluruh negara di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata ilmu persilatan yang ditonjolkan pada karnival kali ini adalah untuk mengangkat martabat dan budaya yang sangat penting untuk bangsa melayu.

“Kita bercakap tentang melayu bukan bererti kita mengkhianati bangsa-bangsa yang lain tetapi untuk kita menjadi bangsa yang sangat berdisiplin dan kuat.

“Di samping, bangsa yang akan terus mengangkat martabat seperti yang disyorkan oleh baginda Nabi Muhammad SAW,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Pembukaan Karnival Silat Kebangsaan 2023 di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus di sini semalam.

Turut hadir, Yang Dipertua PESAKA Negeri Terengganu, Dato’ Yahaya Ali, Ketua Polis Negeri Terengganu, YDH. DCP Datuk Mazli Mazlan dan Pengerusi PEKIDA Negeri Terengganu merangkap Pengarah Program, Ahmad Fadrul Md Tahar.

Tambah Hishamuddin, program ini anjuran bersama Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA) Negeri Terengganu , Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islam Malaysia (PEKIDA) Negeri Terengganu dan Yayasan Al-Amin.

Tambahnya, penganjuran ini secara tidak langsung dapat membantu ekonomi tempatan melalui penginapan, makan-minum cenderahati dan pelbagai perkhidmatan yang digunakan oleh peserta selama empat hari berada di sini.

“Dijemput kepada peserta dan pengunjung supaya dapat hadir ke semua acara sampingan berkenaan selain daripada menyertai karnival silat agar pelaksanaan program ini dapat dioptimumkan.

“Ini sekali gus dapat menjadi batu loncatan kepada pelaksanaan program sebegini bagi tahun- tahun mendatang,” ujarnya.

Beliau berharap, karnival ini dapat berjalan dengan lancar dan jayanya tanpa sebarang perkara yang tidak diingini berlaku. 

Di samping itu katanya, pihak penganjur diharap dapat memastikan isu keselamatan peserta dan pengunjung dijaga dengan baik dan rapi supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: