lightning-solid
Berita :
Kebahagiaan Keluarga Tidak Diukur Dengan Harta Semata-mata
Kebahagiaan Keluarga Tidak Diukur Dengan Harta Semata-mata
Amiirullah Mansor
1 hari yang lepas
57

DUNGUN, 10 Februari — Kebahagiaan sesebuah keluarga tidak boleh dinilai hanya berdasarkan kemewahan dan kesenangan hidup semata-mata, sebaliknya perlu berteraskan kekuatan iman, pengurusan emosi serta nilai spiritual yang menjadi asas keharmonian rumah tangga. 

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata, Islam telah menggariskan satu perjalanan hidup yang tersusun bermula daripada pembentukan peribadi Muslim, seterusnya keluarga Muslim, masyarakat Muslim, negeri dan negara sehingga terbentuknya sebuah tamadun yang diredai Allah SWT. 

Menurut beliau, Rasulullah SAW merupakan contoh terbaik dalam membina kehidupan keluarga dan masyarakat walaupun Baginda melalui pelbagai ujian berat sepanjang hayatnya termasuk peperangan, tekanan ekonomi dan kesempitan hidup. 

“Jangan kita banding kehidupan Rasulullah SAW hanya dari sudut kebendaan. Baginda berdepan lebih 30 peperangan dan ada ketika rumah Baginda tidak berasap selama beberapa hari kerana ketiadaan makanan. Namun, keluarga Rasulullah tetap berada dalam kebahagiaan kerana asasnya ialah iman dan reda kepada ketentuan Allah SWT,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Rumahku Syurgaku Peringkat DUN Paka di Dewan Besar Darul Bayan, Pinang Merah, Paka, semalam. 

629131460_1445788426909806_5788448852602318082_n.jpg 367.29 KB
Beliau menegaskan bahawa kebahagiaan sebenar bukan diukur melalui rumah besar, kereta mewah atau rupa paras semata-mata, sebaliknya bergantung kepada ketenangan jiwa dan hubungan yang baik dengan Allah SWT. 

“Dalam Islam, orang yang paling bahagia ialah orang yang Allah SWT reda kepadanya. Reda dengan apa yang Allah SWT beri dan sentiasa bersabar dengan ujian sama ada miskin atau kaya,” ujarnya. 

Mengulas keadaan masyarakat hari ini, beliau berkata peningkatan teknologi dan kemajuan ekonomi tidak semestinya menjamin kesejahteraan hidup sekiranya nilai spiritual diketepikan. 

“Kita lihat penyakit makin meningkat, tekanan hidup makin berat dan masalah rumah tangga semakin bertambah. Ini menunjukkan kebahagiaan fizikal sahaja tidak mencukupi tanpa kekuatan rohani,” katanya. 

Beliau turut mengingatkan bahawa slogan Rumahku Syurgaku bukan sekadar ungkapan, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui sikap saling memahami, pengurusan emosi yang baik serta tanggungjawab suami isteri dalam membina keluarga yang diredai Allah. 

“Jangan sampai rumah yang sepatutnya menjadi Syurga bertukar menjadi Neraka kerana gagal mengurus emosi dan mengabaikan nilai agama,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau berharap program seumpama ini dapat memberi kesedaran bukan sahaja kepada peserta, malah kepada seluruh masyarakat mengenai kepentingan membina keluarga berasaskan iman dan kasih sayang. 

“Program ini bukan sekadar memberi impak kepada individu, tetapi kepada masyarakat keseluruhannya supaya kita menilai semula apakah makna kebahagiaan yang sebenar, bukan sahaja di dunia malah hingga ke Akhirat,” katanya. 

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur, para juri, ketua-ketua cawangan serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut. 

“Mudah-mudahan usaha ini mendapat keredaan dan ganjaran di sisi Allah SWT,” katanya. 

628583471_1445787996909849_1686164151725627366_n.jpg 441.35 KB



Tag :

Artikel Berkaitan