JPNT Urus Penghantaran 261 Calon SPM Ke Pusat Peperiksaan Alternatif
Oleh : Abay Cik
MARANG, 2 Disember - Bagi memastikan kebajikan pesakit tidak terabai walau berhadapan situasi banjir, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Payong telah mengadakan misi menyampaikan bantuan dan menghantar barangan keperluan.
Pembantu Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Bukit Payong, Kamanordin Md Jusoh berkata, pasukan dari pusat khidmat turun ke lapangan bersama Penghulu Mukim, Zafiri Ahmad Zaki membantu menyampaikan barangan keperluan daripada Tabung Darul Iman (TDI).
Ujarnya, antara barangan yang disampaikan seperti lampin pakai buang dan susu khas untuk pesakit.
"Kami berusaha untuk memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat perhatian dan bantuan yang diperlukan terutamanya kepada mereka yang sedang menghadapi cabaran kesihatan dan bencana.
"Misi ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan kami dalam membantu komuniti setempat," ujarnya ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas menyertai misi menghantar bantuan kepada pesakit, di sini, semalam.
Dalam pada itu katanya, misi yang dijalankan tersebut turut menyasarkan rumah-rumah penduduk yang terkesan banjir.
Seorang penduduk, Zakaria Mohamad berkata telah menjadi lumrah berhadapan situasi itu saban tahun setiap kali menjelangnya musim tengkujuh.
"Tetapi banjir pada tahun ini tidak sebesar sebagaimana yang terjadi pada beberapa tahun lepas," katanya.