Kebenaran Makan Di Kedai Diketahui Ahad Depan

KUALA TERENGGANU, 28 Mei - Keputusan untuk membenarkan restoran dan kedai makan beroperasi sepenuhnya termasuk makan di dalam premis dijangka akan diumumkan kerajaan negeri pada Ahad depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, beliau sedang berbincang dengan pelbagai agensi termasuk para petugas barisan hadapan supaya keputusan yang dikeluarkan kelak tidak membebankan mana-mana pihak.

“Insya-Allah jika semuanya berjalan lancar, kerajaan Terengganu akan memuktamadkan keputusan mengenai perkara ini pada 31 Mei nanti.

“Kebenaran makan di dalam premis di Terengganu sedang diperhalusi berdasarkan nasihat daripada pakar-pakar dan agensi berkaitan. Semuanya kita akan umumkan nanti.

“Kita mohon kepada semua agar bersabar dahulu kerana keputusan yang kita buat ini akan mengambil kira pelbagai aspek dan memberi kesan yang besar kepada rakyat,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini.

Walau bagaimanapun, Dr Alias menegaskan, selagi perkara itu belum diumumkan, operasi premis restoran dan kedai makan akan berjalan sebagaimana arahan sebelumnya.

“Premis terbabit dibenarkan dibuka pada pukul 7 pagi hingga 10 malam dan urusan jual beli hanya terhad secara pandu lalu, bungkus bawa pulang dan penghantaran sahaja,” tambah beliau.

Untuk rekod, Kelantan adalah negeri terbaharu yang membenarkan premis restoran dan kedai makan beroperasi sepenuhnya namun dengan kawalan prosedur operasi standard  (SOP) yang ketat.