Kecanggihan Teknologi Gugat Keharmonian Keluarga
Oleh: Nooreni Abu Bakar
DUNGUN, 26 Ogos- Kecanggihan teknologi yang berkembang pesat dengan dunia hanya di hujung jari telah mencetuskan fenomena media sosial dengan pelbagai aplikasi yang mengugat keharmonian keluarga.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Alias Harun menegur sikap masyarakat yang gagal memanfaatkan aplikasi seperti 'whatsapp', 'facebook' , ' tweeter' , 'wechat' dan 'instagram' sebaiknya yang menyebabkan keluarga berpecah belah.
"Hari ini, situasi biasa, kita dapat lihat suami dan isteri leka dengan telefon bimbit mereka, kadang-kadang kita tengok duduk semeja tetapi masing-masing dengan hal masing-masing, asyik 'berwasap'," ujarnya dengan nada kesal.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang melahirkan rasa kecewa tersebut ketika berucap merasmikan Majlis Hi Tea Bersama Dr Rusni Adam di Dewan Al Husna, Darul Ansor, Kampung Alor Mak Bah, baru-baru ini.
Katanya, belum lagi pengaruhnya kepada anak-anak sehingga anak kecilpun tidak dapat berenggang dengan telefon pintar.
"Malangnya Al Quran, tidak mampu untuk membacanya walaupun sebaris ayat, sedangkan kita sepatutnya membacanya semuka sehari ayat-ayat Allah itu," ujarnya lagi sambil memberi ingatan.