KUALA NERUS, 14 Januari - Seorang warga emas hilang punca pendapatan utama selepas kedai makan dan bangsal memproses hasil laut yang diusahakan sejak 20 tahun lalu di Kampung Tanjung, Pantai Batu Rakit di sini, roboh ekoran dibadai ombak besar.
Manan Ali, 70, berkata dia berputih mata melihat kemusnahan perusahaan tersebut yang merupakan perniagaan turun temurun daripada ayahnya.
Menurutnya, bangsal yang dibina pada tahun 1990 pada mulanya terhakis pada tahun lepas tetapi selepas dibuat benteng batu, keadaan kembali stabil.
Namun katanya, Monsun Timur Laut (MTL) pada tahun lepas menyaksikan hakisan yang semakin teruk apabila ombak yang membadai memusnahkan pantai Batu Rakit dan persekitarannya.
"Hakisan tahun ini terburuk dalam tempoh 20 tahun, ombak besar serta angin kencang kali ini berlainan berbanding tahun-tahun sebelumnya dan sangat menakutkan dalam sejarah saya tinggal di sini.
“Pada tahun lepas, pada 29 November, belakang kedai runtuh, diikuti runtuhan kedua pada 28 Disember.
"Kejadian pada jam 9.30 malam semalam menjadi peristiwa hitam bagi kami apabila angin kuat dan ombak besar meranapkan kedai yang menjadi punca rezeki keluarga,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman ketika ditemui.
Bapa kepada dua anak itu berkata dia ,redha dengan ujian berkenaan namun berharap ada penyelesaian terbaik untuk membantu penduduk di kawasan itu yang diancam masalah hakisan serius.