Kedatangan Pelancong Ke Terengganu Meningkat 165 Peratus


Oleh : Suhaimi Taib

KUALA LUMPUR,  24 Ogos - Kedatangan pelancong ke Terengganu meningkat sebanyak 165 peratus dan paling tinggi  berbanding dua negeri di Pantai Timur, Pahang dan Kelantan. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan,  Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ariffin Deraman berkata, walaupun kemungkinan kedatangan pelancong ke negeri Pahang agak ramai namun peratusan kehadiran mereka lebih tinggi ke Terengganu. 

Katanya,limpahan pelancong ke Pantai Timur ini sudah dijangka berdasarkan kajian pelancongan domestik yang dijalankan Tourism Malaysia pada bulan April lalu.

"Dalam keadaan biasa kita percaya kita boleh mendapat 5.5 juta pelancong tahun ini walaupun tiga bulan kekurangan kehadiran pelancong bermula Jun lalu dengan trend kehadiran pelancong yang sangat tinggi ke Terengganu sejak akhir-akhir ini," jelasnya. 

Beliau berkata demikian ketika bercakap kepada pemberita di Wisma Berita Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) di sini hari ini.

Katanya, kerajaan Terengganu mengadakan promosi pelancongan secara berterusan melalui pelbagai medium termasuk Rancangan Selamat Pagi Malaysia RTM.

"Di samping itu akibat viral dalam sosial media,  ramai pelancong datang mencari destinasi popular pelancongan Terengganu termasuk Restoran Nasi Dagang Atas Tol, Kuala Terengganu, Jambatan Angkat Muara Sungai Terengganu,  Sentuari Kelah Tasik Kenyir Hulu Terengganu,  Pulau Redang,  Pulau Perhentian dan lain-lain," tambahnya. 

Katanya,  kerajaan negeri juga akan menganjurkan Festival Kebudayaan Terengganu mulai 27 Ogos hingga 6 September ini sebagai cetusan baharu untuk menghimpunkan semua seni budaya warisan rakyat negeri itu. 

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Komunikasi Korporat,  Iskandar Mirza Mohd Yusof berkata, Jabatan Pelancongan Malaysia memuji langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan negeri Terengganu kerana menganjurkan festival Kebudayaan Terengganu.

Katanya, festival itu dapat menunaikan permintaan rakyat Malaysia untuk melancong dalam negara. 

"Sebab kita sedia maklum selepas bulah Jun lepas, ramai rakyat Malaysia mencari tempat untuk melancong di hujung minggu.

"Setidak-tidaknya dengan penganjuran seperti ini dapat memenuhi permintaan bukan sahaja menghidupkan budaya rakyat negeri Terengganu tetapi terhadap produk-produk pelancongan lain," ujarnya.