Kekalahan Lalu Sebagai Pengajaran
Oleh: Ahmad Mawardi
HULU BESUT - Misi mempertahankan kemenangan amat sukar dengan banyaknya fitnah di akhir zaman ini. Jadikan kekalahan dahulu pengajaran buat kita semua dalam memperkukuh gerak kerja parti, kata Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu, Ustaz Hilmi Harun.
Menurutnya, pemuda hari ini perlu mengatur gerak kerja dari sekarang tanpa mengharapkan bantuan orang lain dan bekerja dengan ikhlas demi kelangsungan parti dan kerajaan hari ini.
"Pemuda perlu sentiasa beramal untuk dunia seperti hidup selamanya dan beramal untuk akhirat seperti kematian pada esok hari.
"Wahai pemuda, jagalah Allah nescaya Allah akan menjaga kamu. Jika kalian berkumpul untuk memberi manfaat kepada sesuatu, sesungguhnya tidak akan dapat manfaat tersebut kecuali apa yang telah ditetapkan oleh Allah," katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri Manir yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri itu berucap demikian di Program Kembara Merdeka 2018 Belia DUN Manir di Dewan La Hot Spring Resort Hulu Besut, di sini, semalam (1 September).
Hilmi turut memberitahu, kelebihan pemuda Pantai Timur adalah didedahkan dengan pelbagai program ilmu yang mana sebahagian besar dapat menghasilkan pemuda yang kuat dan istiqamah bersama Islam.
Tambah beliau, menjadi kekuatan parti dan jemaah Islam dalam proses pelaksanaan Islam yang sebenarnya apabila PAS sanggup keluar daripada pakatan demi menjaga dasar dan prinsip Islam.
Hampir 100 peserta di kalangan belia DUN Manir menyertai program itu. Peserta menyertai konvoi bermula 11.30 pagi dari perkarangan Kompleks Al-Kawthar Kubang Lembek, Manir dan tiba di La Hot Spring Resort pada jam 2.30 petang.