Kematian Penyu Dipercayai Terkena Kipas Bot


Zawawi Ali
Kematian seekor penyu agar atau nama saintifiknya (Chelonia Mydas), yang ditemui oleh pengunjung pantai di Kuala Kerteh, Kemaman, pada hari Isnin lalu dipercayai akibat terkena kipas bot yang melalui perairan tersebut.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri, Zawawi Ali berkata, penyu yang berusia dalam lingkungan 15 hingga 20 tahun itu berkemungkinan berada di perairan tersebut untuk bertelur.

"Hasil pemeriksaan lanjut terhadap bangkai penyu tersebut mendapati ada beberapa kesan seperti terkena kipas bot ditemui pada cengkerangnya.

"Berdasarkan kepada keadaan bangkai tersebut, kita percaya penyu terbabit sudah mati kira-kira dua minggu lalu sebelum bangkainya dihanyutkan ombak ke persisir pantai," katanya.

Zawawi berkata demikian selepas dihubungi oleh Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini, bagi mengulas berkenaan penemuan bangkai tersebut.

Keadaan bangkai penyu yang ditemui baru-baru ini.
Menurutnya, bermula dari bulan Januari hingga Ogos tahun ini, sebanyak 46 kes kematian penyu telah dicatatkan di Perairan Terengganu melibatkan peratusan sebanyak 0.0167 peratus.

"Banyak perkara yang menjadi punca kematian termasuk penggunaan pukat yang tidak dibenarkan, terkena kipas bot nelayan, termakan sampah yang berada di laut dan beberapa penyebab lain.

"Pihak kami telah merampas sebanyak 23 bidang pukat pari yang menjadi salah satu  penyebab kematian penyu.

"Kebanyakan nelayan akan memotong pukat tersebut sekiranya penyu tersangkut lalu dibiarkan hanyut di tengah laut dan tidak boleh mencari makanan sehingga ianya mati," katanya.

Katanya, Jabatan Perikanan Negeri Terengganu sentiasa mengadakan kempen kesedaran kepada nelayan dan orang ramai berkenaan kepentingan menjaga kebersihan pantai dan perairan laut.

"Kita banyak mengadakan ceramah dan kempen berkenaan perkara ini dan beberapa inovasi telah dibangunkan seperti Peranti Penyisih Penyu (TED) dan beberapa inovasi lain untuk mencegah kematian penyu," katanya.

Zawawi berharap agar orang ramai dapat mengambil berat tentang kebersihan pantai dan melaporkan kepada pihak berkaitan sekiranya terlihat sebarang aktiviti yang merosakkan hidupan terancam tersebut.



Tag: