• 18 Okt 2024 | 15 Rabiul Akhir 1446

'Kenakan Tindakan Tegas Terhadap Teresa Kok'

MARANG, 8 September - Anak Muda di daerah ini menggesa agar Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok disiasat dan dikenakan tindakan tegas atas kenyataannya yang didakwa mencampuri urusan umat Islam.

Ketua Pemuda PAS Marang, Ustaz Yusuf Abdul Hadi menegaskan, ucapan Ahli Parlimen Seputeh itu merupakan tindakan yang cukup biadap.

"Kami ingin bertanya kepada beliau, apa urusan beliau dengan halal haram umat Islam, perkara ini tiada kena mengena dengan bukan Islam.

"Kami melihat, pemimpin DAP sering menimbulkan sesuatu perkara yang membangkitkan kemarahan umat Islam," katanya selepas membuat laporan polis terhadap Teresa Kok di Balai Polis Marang hari ini.

Tegas Yusuf, umat Islam memohon agar pihak polis menjalankan siasatan dengan telus bagi membolehkan tindakan diambil atas kenyataan yang cukup bahaya itu.

"Kenyataan Teresa Kok menyentuh 3R melibatkan sensitiviti umat Islam, kami pohon pihak polis mengambil tindakan atas akta hasutan dan sebagainya.

"Jika perkara ini tidak dikenakan tindakan tegas, tak mustahil selepas ini banyak lagi kenyataan menyentuh sensitiviti Islam atau agama lain akan dibuat pihak tidak bertanggungjawab," jelas beliau.

Kelmarin, Teresa Kok berkata, langkah mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi serta alkohol mendapatkan pensijilan halal berpotensi menambah beban kepada perniagaan termasuk melibatkan ribuan pengusaha restoran Melayu. 

Kata beliau lagi, ia bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.


Tag: