Kerajaan Bantu Nelayan Miliki Alat Moden

SETIU, 9 Disember – Kerajaan Terengganu terus komited memastikan semua golongan nelayan di negeri ini dilengkapi dengan peralatan moden mampu milik.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata peralatan moden seperti ‘Global Positioning System’ (GPS) dan alat pencari ikan (fish finder) sudah menjadi keperluan asas yang wajib dimiliki para nelayan.

"Kita perlu berpijak di bumi nyata dan menyedari bahawa kos menyediakan sebuah kapal menangkap ikan berteknologi moden lengkap dengan kemudahan memproses ikan memerlukan belanja yang sangat besar.

"Sekarang kami bekerja untuk mempastikan agar semua nelayan dilengkapi dengan peralatan moden mampu milik seperti GPS dan fishfinder walau mereka hanya kelaut dengan sampan enjin sangkut," ujarnya dalam satu kenyataan, pagi ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata terdapat beberapa syarikat telah datang mengemukan cadangan untuk membina bot nelayan berteknologi moden.

"Kita sangat mengalu-alukan dan mereka perlu melalui prosedur yang sepatutnya. Fokus kami sekarang ialah kepada lebih 6,000 orang nelayan berdaftar di Terengganu agar isu-isu serta permasalahan yang berlegar seputar kehidupan mereka dapat ditangani secara berperingkat.

"Mendongak dan mengimpikan untuk mencapai bintang di langit tak sekali-kali melupakan kita kepada rumput di bumi," tambahnya lagi.