Kerajaan Bina Lebih Banyak Fasiliti di Kompleks Sukan Gong Badak

KUALA NERUS, 28 Julai - Beberapa fasiliti di Kompleks Sukan Negeri Gong Badak kini sedang dalam proses pembinaan dalam usaha kerajaan negeri memastikan pelbagai aktiviti dan kegiatan sihat dapat dilakukan oleh seluruh rakyat di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, antara fasiliti yang sedang dibangunkan adalah tempat latihan angkat berat, memanah serta padang sintetik beserta lampu limpah

Katanya, tujuan menghidupkan Kompleks Sukan Negeri Terengganu itu supaya lebih ramai rakyat negeri ini boleh berkunjung dan melakukan aktiviti riadah dan bersukan.

"KIta telah menjalinkan hubungan kerja sama dengan pihak kementerian (Kementerian Belia dan Sukan) dan sebahagian (peruntukan) itu adalah daripada pihak kementerian supaya kompleks sukan kita ini tidak statik dengan apa yang telah sedia ada.

"Jadi kita juga berharap apabila ada fasiliti-fasiliti baru ini ia mampu untuk membangunkan bakat atlet kita dengan lebih agresif pada hari mendatang.

"Namun ada juga tempat latihan yang kita tidak boleh buat di kompleks ini seperti pusat latihan layar jadi kita buat tepi pantai yang 'progress' pembinaanya saya rasa dah hampir siap, insya-Allah dari semasa ke semasa kita akan 'update' perkembangan pusat pembangunan yang saya maksudkan." ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika  ditemui pihak Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan Program Fit Is Sunnah 2024 Peringkat Negeri Terengganu, di Perkarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah Urus Setia Belia, Sukan & NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT), Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin dan Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Harun Esa.

Dalam pada itu, Hishamuddin berkata 'Fit Is Sunnah' itu merupakan agenda yang terkandung di dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PINTAS) di samping mengajak rakyat ke arah mengamalkan gaya hidup sihat ia juga bertujuan memperkasakan Komplek Sukan itu untuk menjadi pusat sukan di peringkat negeri.

Sementara itu, Muhammad Irsyad berkata program seperti 'Fit Is Sunnah' itu merupakan mercu tanda agenda PINTAS.

"UBSNT sedang merangka banyak program dan aktiviti kecergasan yang akan kita laksanakan dalam rancangan merakyatkan sukan kepada seluruh masyarakat negeri Terengganu dengan konsep patuh syariah," ujarnya.