Kerajaan Disaran Buka Kawasan Baru Taman Kekal Pengeluaran Makanan
KUALA TERENGGANU, 20 November - Bagi memastikan bekalan makanan mencukupi, kerajaan negeri disaran membuka lebh banyak kawasan baharu pertanian di setiap daerah untuk Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, ia bermatlamat untuk memastikan rantaian makanan negeri ini mampu memenuhi keperluan rakyat serta menjadi pemacu ekonomi negeri.
“Usaha untuk menggalakkan pengeluaran produk makanan yang mempunyai nilai tambah, seperti produk organik, makanan siap proses (frozen) dan makanan khas untuk eksport agar dapat meningkatkan potensi ekonomi sektor makanan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
“Matlamat utama adalah membangunkan rantaian nilai makanan yang kukuh bukan sahaja akan memastikan keperluan makanan rakyat Terengganu terjamin, tetapi juga menjadikan negeri ini sebagai hab pengeluaran makanan utama di Malaysia,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam pembahasan bajet pada Mesyuarat ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Iman, semalam.
Selain itu, kerajaan juga perlu memperluaskan platform pemasaran digital bagi membantu petani dan penternak memasarkan produk mereka secara lebih efektif.
Katanya, inisiatif itu bertujuan memudahkan hubungan antara pengeluar makanan, peruncit, dan pengguna.
“Kerajaan juga perlu memperbanyakkan inisiatif yang memudahkan hubungan antara pengeluar makanan, peruncit, dan pengguna. Platform pemasaran digital perlu diperluaskan untuk membantu petani dan penternak memasarkan produk mereka dengan lebih efektif.
“Dengan adanya kepelbagaian aktiviti pemindahan kemahiran dan pengaplikasian teknologi IoT dan automasi menerusi program latihan dan amali dapat memberi galakkan kepada orang muda dalam sektor agromakanan,” ujar Ghazali.