Terengganu Salur RM4.2 Juta Baik Pulih Rumah Rosak Akibat Ribut
KUALA TERENGGANU, 2 Januari - Kerajaan Negeri akan mengoptimumkan hasil pendapatan negeri melalui Pelan Penjanaan Pendapatan Baharu Negeri Terengganu yang mengandungi tujuh strategi.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ia bagi mengurangkan kebergantungan kepada hasil royalti petroleum dan gas serta krisis kekurangan simpanan minyak.
Katanya, pelan ini juga menggariskan tiga objektif utama iaitu mengoptimumkan sumber negeri sedia ada, mengeksplorasi sumber baharu negeri serta mencari peluang jana pendapatan baharu terutamanya dalam sektor teknologi hijau dan Unsur Nadir Bumi (REE).
“Dalam penggal yang lalu juga, Terengganu telah berjaya mengurangkan tiga hingga empat peratus kebergantungan kepada royalti dan kita optimis ia akan dapat dikurangkan lagi dengan pelan yang dirancangkan.
“Hasrat saya pada tahun 2024 juga, kita sama-sama dapat mendepani cabaran ekonomi dalam lima tahun ke depan,” katanya dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya semalam.
Tambah Ahmad Samsuri, jika penggal lepas kerajaan negeri berusaha untuk mengubah perubahan minda rakyat Terengganu dengan politik matang dan sejahtera.
“Justeru, akan datang saya akan memastikan rakyat dapat melakukan perubahan minda untuk mengubah persepsi serta budaya 'cukup sekadar ini sahaja,' dengan merebut peluang dalam kitaran ekonomi yang bakal kita lakukan.
“Kita perlu bersedia dan berfikiran terbuka untuk melakukan anjakan padigma selaras dengan perubahan persekitaran yang berlaku,” jelasnya.
Jelas Ahmad Samsuri, tugas ini tidak mudah dan cabarannya juga pasti banyak, namun jika ia tidak dimulakan, hasilnya tidak akan datang.
“Bak kata pepatah, 'berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian', insya-Allah.
“Dalam pada itu, untuk memastikan perancangan serta agenda ini berhasil, semua pihak termasuk pimpinan di pelbagai peringkat haruslah memainkan peranan masing-masing.
“Setiap dari kita perlu bekerja secara bijaksana, menggunakan rangkaian serta bekerjasama dengan pelbagai agensi dan jentera di lapangan,” ujarnya.
Beliau berkata, pemikiran dan kemahiran analitikal serta interpersonal perlu ada apabila mengemudi sesebuah kumpulan mahupun yang lebih besar seperti negeri dan negara.
“Kita harus melakukan ubahsuai dalam cara kita memberikan perkhidmatan agar sentiasa responsif, relevan, cekap, cepat dan berkesan dalam memenuhi segala keperluan dan harapan rakyat yang berada di hadapan kita.
“Insya-Allah dengannya, kita mampu menawarkan model pentadbiran yang lebih baik,” ujarnya.
Akhirnya, ingatlah bahawa tugas kita semua adalah berat dan teruslah bekerja bersama-sama ke arah membina Terengganu ke satu tahap yang lebih baik pada masa hadapan.