Kerajaan Negeri Jalin Hubungan Baik Dengan SPR

Nik Andy (kanan) menunjukkan buku panduan SPR kepada Haji Yahaya (kiri). Foto - Hidayah Haura
KUALA TERENGGANU, 3 Disember - Kerajaan negeri  memberi jaminan untuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan badan bebas tersebut dapat melaksanakan tugas mereka dengan sempurna.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Yahaya Ali berkata, ini merupakan pendekatan terbaik kerajaan dalam berurusan dengan SPR  kerana ia adalah sebuah badan bebas yang tidak mewakili mana-mana parti dan dilantik melalui perbincangan Majlis Raja-raja sebelum diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, justeru tugas SPR tidak seharusnya diperlekeh.

“Oleh sebab itu, kita berbesar hati menerima kunjung hormat pihak SPR dan dalam masa yang sama diadakan perbincangan tentang pendaftaran pemilih serta persempadanan semula.

“Saya mewakili pihak kerajaan negeri berharap SPR dapat mempermudahkan pendaftaran pengundi secara automatik bila cukup umur dan memberi tumpuan khususnya kepada Terengganu untuk menambah kawasan pilihan raya dalam keadaan pertambahan pengundi sudah berlipat kali ganda dari jumlah kerusi yang ada sekarang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas Kunjungan Hormat SPR ke pejabatnya, di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Muhyidin Abdul Rashid dan Pengarah SPR Negeri, Nik Andy Suwardy Amry.

Jelasnya, persempadanan mengikut kepadatan penduduk dan demografi memudahkan pengundi secara keseluruhannya berlandaskan peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.


“Kajian semula berkenaan perkara tersebut juga perlu memandangkan peningkatan keberkesanan khidmat kepada rakyat dengan saiz kawasan sewajarnya mengambil kira sempadan pentadbiran daerah dan perwakilan rakyat di peringkat kawasan Parlimen,” katanya lagi.

Tambah Yahaya lagi, ianya perlu dilaksanakan supaya perjalanan pilihan raya lebih lancar dan tidak timbul persepsi rakyat dengan alasan tidak mendapat maklumat sepenuhnya dari SPR dengan perubahan mekanisme terbaik dari Kerajaan Persekutuan yang sedang berusaha membuat penambahbaikan untuk keselesaan rakyat.

Sementara itu, Nik Andy berkata, pihaknya akan membawa hasil daripada perbincangan pada hari ini ke pihak atasan untuk dibincangkan dan seterusnya membuat keputusan yang sebaiknya untuk kedua-dua pihak.

Katanya, sehingga hari ini, Terengganu mempunyai rekod yang baik dengan SPR dalam banyak perkara dan merupakan antara negeri yang tertinggi dari segi target pendaftaran pemilih baru yang layak mengundi berbanding negeri lain.




Tag: