Kerajaan Negeri Jangka Peroleh RM32 Juta Melalui Enakmen Sumber Air 2020

KUALA TERENGGANU, 20 November - Kerajaan Negeri menjangkakan pendapatan sebanyak RM32 juta pada tahun 2025 hasil pelaksanaan Enakmen Sumber Air (Terengganu) 2020  menerusi Lembaga Sumber Air Terengganu (LAUT).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris, berkata daripada jumlah tersebut, RM12 juta dijangka diperoleh melalui caj pengabstrakan air, manakala RM20 juta lagi daripada caj aktiviti penggubahan sumber. 

“Ini merupakan langkah penting untuk meningkatkan pendapatan negeri sambil memastikan sumber air kita diurus dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Ucapan Penggulungan Belanjawan 2025 Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Tambah Razali, selain hasil utama ini, LAUT juga sedang meneroka potensi pendapatan baharu, antaranya melalui caj pendaftaran vesel untuk aktiviti navigasi di sumber air, dengan kutipan dianggarkan sebanyak RM67 ribu pada tahun 2025.

Selain itu katanya, ia meliputi  pembangunan industri pelancongan berasaskan sumber air, termasuk aktiviti rekreasi serta, kajian pelaksanaan Zero Discharge Policy untuk memelihara sumber air dan memanfaatkan penggunaan semula air pulih guna.

Beliau turut menjelaskan bahawa caj-caj ini hanya dikenakan kepada aktiviti komersial. 

“Kita ingin menegaskan bahawa caj ini tidak akan membebankan rakyat biasa. 

“Sebagai contoh, kegunaan air untuk pertanian atau peternakan sara diri di bawah 10,000 liter sehari, atau untuk isi rumah yang menggunakan kurang daripada 2,500 liter sehari, dikecualikan daripada caj,” jelasnya.

Justeru itu, Razali berharap langkah ini dapat menyeimbangkan antara peningkatan hasil negeri dan pemeliharaan alam sekitar, khususnya sumber air yang menjadi aset penting bagi negeri Terengganu.