• 16 Sept 2024 | 12 Rabiul Awal 1446

Kerajaan Negeri Jemput Orang Ramai Hadir Solat Hajat Beramai-ramai di Stadium Malam Ini

KUALA TERENGGANU, 6 September – Kerajaan Negeri Terengganu menjemput orang ramai untuk hadir ke program munajat rakyat kembalikan hak royalti Terengganu yang akan diadakan malam ini di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, Kuala Terengganu. 

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata program tersebut dianjurkan bagi memohon kepada Allah SWT agar hak royalti minyak Terengganu dikembalikan dan demi kesejahteraan serta keberkatan negeri dan negara.

Katanya, solat hajat akan dimulakan selepas Solat Maghrib, diikuti dengan Solat Isyak dan doa munajat. 

“Kami menjemput semua lapisan masyarakat untuk bersama-sama hadir malam ini di stadium. 

“Mari kita bersatu dalam doa memohon pertolongan Allah SWT agar hak kita dikembalikan, dan negeri kita terus dilindungi serta diberkati,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Kelab Warga Orang Tua di Masjid Gong Tok Nasek di sini baru-baru ini.

Tambah Dr Khalil, orang ramai yang ingin hadir diminta untuk tiba lebih awal bagi mengelakkan kesesakan di sekitar stadium. 

“Program ini diharapkan dapat menjadi medan perpaduan seluruh masyarakat Terengganu dalam usaha menuntut hak yang sah milik mereka,” ujarnya.


Tag: