Pembatalan Pertemuan Anwar-Prabowo: Ahmad Amzad Desak Penjelasan Segera
Kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) komited membantu memulihkan golongan ‘mak nyah’ di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah Dan Penerangan Negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, menerusi program Mukhayyam berbentuk perkhemahan tiga hari dua malam untuk golongan itu yang memasuki edisi kedua dianjurkan JHEAT dilihat menunjukkan suatu perkembangan yang positif.
“Pada sesi pertama yang dihadiri 100 orang ‘mak nyah’, ada di kalangan mereka yang telah berubah walaupun tidak sepenuhnya dan kita tetap melakukan pemantauan terhadap mereka yang pernah menyertai program ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Penutup Program Sekuntum Impian Sejambak Harapan yang dihadir 18 orang ‘mak nyah’ negeri ini di Anggullia Beach House, Kuala Terengganu hari ini.
Mohd Nor berkata, program yang diadakan selama tiga hari bermula 28 ogos lalu itu bertujuan mendampingi golongan berkenaan dalam usaha membentuk dan memulihkan golongan tersebut ke arah kehidupan mengikut hukum hakam Islam yang sebenar.
“Selain menekankan aspek kerohanian dan keagamaan yang memberi kesedaran dan muhasabah diri , turut didedahkan pada program ini agensi-agensi yang boleh membantu mereka dari segi kemahiran, kursus, bantuan perniagaan dan sebagainya.
“Antara yang terlibat termasuk Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Yayasan Pembangunan keluarga (YPK) dan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU),” ujarnya.
Katanya, kerajaan negeri sentiasa bersedia membantu mereka melepaskan diri mereka dari kehidupan mereka sekarang kepada kehidupan yang lebih baik.
“Kita boleh memberi laluan kepada mereka untuk mencari hala tuju yang lebih baik dalam kehidupan kerana tidak semua golongan ini mahu kehidupan yang sedemikian,’ ujarnya.