• 18 Okt 2024 | 15 Rabiul Akhir 1446

Kerajaan Negeri Peruntuk RM300,000 Bantuan Peralatan Kepada Nelayan

KUALA TERENGGANU, 8 September - Kerajaan Terengganu memperuntukkan sebanyak RM300,000 dalam bentuk bantuan peralatan kepada nelayan pantai sebagai langkah proaktif untuk membantu meningkatkan hasil tangkapan bagi memastikan bekalan ikan di negeri ini kekal mencukupi.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan, dan Komoditi negeri, Hilmi Harun, berkata bantuan itu bertujuan meringankan kos pembelian peralatan, meningkatkan keefisienan penggunaan peralatan, serta menyumbang kepada peningkatan pendaratan ikan di Terengganu.

"Peralatan pada tahun ini ialah fish finder (alat pengesan ikan), pukat tangsi dan kawat bubu yang diberi kepada 232 orang nelayan pantai seluruh daerah di Terengganu.

"Jumlah nelayan pantai yang menerima bantuan peralatan di daerah Kuala Terengganu adalah seramai 16 orang, Kuala Nerus 36 orang dan Marang seramai 32 orang," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Majlis Penyerahan Unjam Dan Pemberian Bantuan Peralatan kepada nelayan Pantai Daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang di Pejabat Perikanan berkenaan, pada hari ini.

Sementara itu, seorang nelayan Muhammad Ismail dari Kampung Jambu Bongkok, Marang, berkata, bantuan yang diterima sangat bermakna untuk dirinya.

“Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana memberi bantuan pukat tangsi kepada saya.

“Ini kali pertama saya menerima bantuan dan saya bersyukur, semoga pendapatan  meningkat dengan bantuan ini,” katanya yang sudah hampir 30 tahun bergiat sebagai nelayan.

Bagi nelayan veteran dari Pulau Ketam, Wahab Busu, 78, turut meluahkan rasa syukur atas bantuan 'fish finder' yang diterimanya.

“Dengan bantuan ini, dapat saya menangkap lebih banyak ikan.

“Nak beli sendiri memang susah sebab mahal, jadi saya sangat berterima kasih kepada kerajaan negeri,” katanya yang telah bergiat sebagai nelayan selama lebih 50 tahun.


Tag: