KUALA TERENGGANU, 12 September - Kerajaan Negeri akan menyalurkan peruntukan sebanyak RM2.59 juta kepada Yayasan Islam Terengganu (YIT) pada minggu hadapan untuk diagihkan kepada guru-guru al-Quran.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, bayaran itu adalah elaun mengajar bagi bulan Januari hingga Ogos tahun ini.
"Kos itu melibatkan 1,380 guru di seluruh Terengganu dengan jumlah keseluruhan sebnyak RM440,000 bagi setiap bulan," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini.
Jelas Dr Muhammad Khalil lagi, bagi bayaran untuk bulan berikutnya, peruntukan bagi tujuan tersebut akan disalurkan seperti biasa pada setiap bulan.
"Jadi insya-Allah tidak akan timbul lagi masalah bayaran lewat atau tertangguh.
"Kelewatan yang berlaku adalah disebabkan masalah bayaran royalti di peringkat Persekutuan.
"Tahun-tahun sebelum ini masalah agihan elaun kepada guru-guru tidak berlaku kerana wang royalti disalurkan seperti biasa dan tanpa sebarang kaedah yang menyulitkan," jelasnya.