Kerajaan Negeri Sediakan Rumah Sewa Untuk Mangsa Tanah Runtuh
HULU TERENGGANU, 29 November - Kerajaan negeri mengambil tindakan segera menyediakan rumah sewa untuk didiami waris mangsa tanah runtuh bermula malam ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu Maliaman Kassim berkata pihaknya juga akan membantu menguruskan pengebumian dua beradik tersebut.
“Kami juga akan salurkan bantuan bersesuaian kepada mangsa yang dirawat di hospital,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil berkata demikian ketika ditemui di lokasi insiden tanah runtuh di Jalan Bukit Apit, Ajil di sini hari ini.
Dalam kejadian tersebut, dua beradik disahkan maut dan seorang lagi cedera akibat runtuhan tanah yang menimbusi rumah mereka.
Ketika kejadian, ibu kepada tiga beradik itu tidak berada di rumah kerana sedang berniaga di Bukit Diman manakala salah seorang lagi anaknya sedang bekerja.