KUALA TERENGGANU, 30 Julai - Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) telah memberikan sumbangan sebanyak RM8,500 sebagai suntikan semangat buat para atlet judo yang mewakili Terengganu ke Sukan Malaysia (SUKMA).
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, dengan sedikit suntikan permulaan itu ia akan menaikkan semangat serta moral para atlet sukan berkenaan untuk beraksi cemerlang pada kejohanan yang akan berlangsung di Mukah, Sarawak itu.
Katanya sebelum kesemua atlet berangkat ke negeri Kenyalang itu hari telah diadakan jamuan selain menyerahkan sumbangan wang dan selepas ini akan ada insentif lain yang akan diberikan apabila berjaya merangkul pingat nanti.
"Jadi tahun ini kita target enam emas akan berjaya diperolehi, kalau lebih itu sudah dikira sebagai bonus namun tidak mustahil untuk mencapai banyak pingat dalam acara ini kerana edisi sebelum ini telah berjaya dibuktikan dengan menjadi juara keseluruhan.
"Kerana itu tahun ini kita juga target untuk menjadi juara secara keseluruhan termasuk dalam sukan-sukan yang lain,"ujarnya yang juga merupakan bapa angkat kepada sukan terbabit.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menghadiri Majlis Inspirasi SUKMA 2024 : Bapa Angkat dan Persatuan Judo Terengganu, di Dewan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU), di sini, semalam.
Dalam pada itu beliau menitipkan pesanan kepada para atlet agar berjuang bersungguh-sungguh bagi mengharumkan nama Terengganu di temasya sukan yang berprestij dalam negara itu.
"Saya yakin mereka boleh buat yang terbaik, saya juga selalu pergi ke tempat mereka mengadakan latihan dan mereka sangat berdisiplin, melalui disiplin yang tinggi itulah yang akan menjadi rahsia kejayaan mereka di SUKMA nanti," katanya.