Kerajaan Negeri Teliti Usaha Pulihara Pura Tanjung Sabtu
Keadaan bangunan yang penuh khazanah itu semakin usang. |
KUALA TERENGGANU, 31 Januari - Kerajaan Terengganu meneliti cadangan pemuliharaan Pura Tanjung Sabtu bagi memastikan bangunan yang penuh dengan khazanah tradisi Melayu itu kembali terjaga.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan pihak terlibat untuk menguruskan kompleks rumah itu.
“Sebenarnya, bukan kerajaan negeri tidak ambil tahu tentang bangunan ini, kami sudah ada maklumat tentang perkara ini. Namun, ia memerlukan banyak prosedur yang perlu diperhalusi.
“Setakat ini tiada sebarang keputusan lagi. Kita akan cuba tengok apa yang boleh kita buat,” katanya ketika ditemui pemberita ketika melakukan tinjauan di Pura Tanjung Sabtu, semalam.
Ariffin bersama MPKK Tanjung Sabtu ketika meninjau keadaan Pura berkenaan. |
Tinjauan tersebut turut disertai Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (Tourism Terengganu), Ab. Rasid Jusoh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim dan Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT), Che Muhamad Azmi Ngah.
Lawatan ke rumah antik yang menjadi tumpuan pengunjung itu turut memperlihatkan struktur yang semakin usang dan terdapat barang-barang perhiasan yang telah hilang dan dirosakkan.
Pura Tanjung Sabtu merupakan sebuah kompleks yang menempatkan beberapa buah rumah dan istana tradisional Melayu Terengganu dan difahamkan rumah dan istana tersebut telah berusia hampir 100 dan 200 tahun.
Ia mendapat namanya hasil gabungan perkataan Sanskrit iaitu ‘Pura’ yang membawa maksud istana dan ‘Tanjung Sabtu’ iaitu nama desa di mana ia dibina.
Walaupun usang, binaannya masih indah dan unik ditatap. |
Pura Tanjung Sabtu telah dibina oleh Allahyarham YM Tengku Ismail YM Tengku Su pada awal 90-an. Namun kini, bangunan-bangunan di sana sudah berkeadaan usang dan tidak terurus setelah pemiliknya meninggal dunia pada tahun 2011.