Kerajaan Perkenal Inisiatif Psikologi Awam Tangani Gangguan Mental

KUALA TERENGGANU, 28 Oktober - Kerajaan negeri memperkenalkan Pelan Strategik Perkhidmatan Psikologi Setiausaha Kerajaan (SUK) Terengganu 2023-2027 bagi memantapkan pembangunan modal insan dan kesejahteraan psikologi di negeri ini.

Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja menekankan kepentingan kesejahteraan psikologi penjawat awam dalam menangani cabaran kesihatan mental.

"Pelan Strategik ini diharap akan dapat membantu organisasi perkhidmatan awam untuk memperkasa peranan psikologi 
dalam pembangunan sumber manusia sejajar dengan matlamat dan aspirasi perkhidmatan awam dan negara sepertimana yang digariskan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

"Peluasan perkhidmatan psikologi diteruskan lagi dengan pewujudan sistem sokongan serta pencegahan kepada permasalahan bagi membantu penjawat awam melalui Program  Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam yang lebih dikenali sebagai AKRAB," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Hari Terbuka Psikologi Peringkat Negeri Terengganu 2024 di Dewan Besar Wisma Darul Iman, semalam.

Mengulas tentang program tersebut, beliau berkata, tema 'Aku Yang Terpaling' bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai isu Narcissistic Personality Disorder (NPD) atau Gangguan Keperibadian Narsistik. 

"Dalam bebanan tugas semakin bertambah dan kompleks setiap hari, isu kesihatan mental perlu dititik beratkan oleh semua pihak dan persekitaran yang holistik di tempat kerja memainkan peranan penting dalam memacu perkhidmatan berkualiti dan efisen.

"NPD atau gangguan keperibadian narsistik adalah salah satu jenis gangguan mental di mana pengidapnya menganggap dirinya lebih baik dan lebih penting daripada orang lain, sehingga orang lain harus mengagumi, mencintai, dan membanggakannya. 

"Nampak seperti perkara remeh dan tuan punya badan tidak hirau dengan keadaan dirinya, sebaliknya individu berada di sekelilingnya akan rasa rungsing serta tertekan dan mungkin menyebabkan hubungan menjadi renggang seterusnya mewujudkan persekitaran yang tidak harmoni di tempat kerja," katanya.

Menurutnya, pihak JPA telah jalankan pelaksanaan Sistem pemprofilan Digital Kesihatan Psikologi Pegawai Perkhidmatan Awam (MYPsyD) bagi mengenal pasti tahap risiko kesihatan psikologi pegawai awam.

"Di Terengganu, seramai 7,825 kakitangan awam atau 89 peratus daripada keseluruhan penjawat awam negeri telah terlibat dalam kajian ini. 

"Mengikut perincian domain pula adalah seperti kemurungan 54 orang (0.6 peratus), stress 2,602 orang (33 peratus), penyalahgunaan dadah 124 orang (1.4 peratus), keresahan 20 orang (0.2 peratus), idea bunuh diri 13 orang (0.1peratus) dan cubaan bunuh diri, 104 orang (1.9 peratus)," ujarnya.

Beliau menambah, hasilnya mendapati masalah psikologi seperti stres dan kemurungan terus menjadi isu utama yang memerlukan perhatian segera.

Justeru itu, beliau berharap program tersebut dapat menjadi platform yang menghapuskan stigma masyarakat terhadap kesihatan mental serta menggalakkan penjawat awam untuk memanfaatkan perkhidmatan psikologi disediakan.


Tag: