Kerajaan Perlu Perincikan Mekanisma Kawalan Harga

KUALA TERENGGANU, 30 Oktober- Kerajaan perlu memperincikan bagaimana mekanisma kawalan yang dinyatakan untuk mengelakkan aktiviti pengambilan untung berlebihan apabila ayam bukan lagi dikategorikan sebagai barangan kawalan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, menamatkan subsidi bermakna harga ayam akan diapungkan berdasarkan kondisi pasaran termasuklah bagaimana keadaan permintaan dan pengeluaran mempengaruhi harga.

“Saya letak sedikit kebimbangan bagaimana nanti peranan kartel dalam mencatur pengeluaran demi untuk meletakkan harga pada paras yang menguntungkan mereka.

“Barangan kawalan memang dimaklumi ada harga siling. Tapi bagaimana dengan pengawalan harga bagi barangan bukan kategori kawalan?,” ujarnya seperti yang dipetik dalam laman facebook rasminya, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, jualan rahmah adalah langkah sementara dan terhad tetapi ianya bukan penyelesaian.

“Bukanlah suatu fenomena yang baik untuk melihat rakyat beratur panjang setiap kali program jualan rahmah dibuat,” ujarnya.

Katanya, apabila subsidi harga ayam tamat maka secara automatik harga ayam akan naik mendadak lebih-lebih lagi apabila nilai ringgit semakin lemah. 

“Kesan langsung secara 'domino effect' dari kejatuhan nilai ringgit ini adalah kerana bahan mentah bagi pembuatan makanan ternakan yang diimport seperti jagung dan soya akan naik melambung juga. Rakyat kini sudah sedia susah. Ayam adalah sumber protein paling murah dan mudah,” ujarnya.

Menurut beliau, dalam apa jua situasi ekonomi negara sekalipun, barangan makanan asas rakyat yang menjadi keperluan harian tidak sepatutnya diapungkan seolah menyerahkan nasib rakyat dalam situasi 'wait and see'.